KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari memulangkan paku buah keras kepada Lim Lip Eng (PH-Kepong) apabila mencadangkan DAP menubuhkan syarikat penerbangan sendiri dan hanya menghidangkan arak.
“Lebih baik buat DAP Airlines. Hidang arak sahaja, tak perlu hidangan lain.
“MP Kepong boleh buat pelancaran.
“Bukan semua airlines terkemuka di dunia hidangkan arak, tak perlulah prejudis sangat dengan cadangan mansuhkan hidangan arak,”selar ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Semalam, mengulas desakan agar Malaysia Airlines (MAS) tidak menghidangkan alkohol, Lip Eng menyindir dengan menyarankan agar pemimpin Pas menubuhkan syarikat penerbangan sendiri.
Bercakap di Dewan Rakyat, backbencher Lip Eng menyelar cadangan “tidak demokratik” daripada parti pembangkang itu, dengan menekankan bahawa pilihan untuk mengambil minuman beralkohol adalah hak individu yang diberikan kepada bukan Islam.
“Syarikat penerbangan dari negara-negara muslim, dari Arab seperti Emirates, Etihad, Gulf Air sendiri hidangkan arak.
“Kepada Pas, jika begitu tak suka, saya cadangkan tubuhkan syarikat sendiri, panggil Pas Airlines. Nantikan berapa lama Pas Airlines boleh tahan sebelum bankrup,” sindir Lim semasa perbahasan Belanjawan 2026.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Pas Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengulangi gesaan parti itu agar MAS berhenti menghidangkan alkohol dalam penerbangan, dengan alasan pramugari dan pelanggan beragama Islam berada dalam dilema yang tidak selesa disebabkan perkara itu.
“Ini bukan tentang menafikan hak sesiapa – ia mengenai menghormati agama dan sensitiviti majoriti rakyat Malaysia,” katanya kepada Dewan Rakyat ketika itu.
Pada 2017, Ketua Pemuda Pas ketika itu Ahmad Fadhli Shaari telah mengeluarkan cadangan yang sama selepas seorang penumpang, yang dipercayai mabuk, telah memasuki kokpit penerbangan Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur, memaksa pesawat itu berpatah balik ke Melbourne.



