PUTRAJAYA, – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pasukan elitnya telah melakukan serbuan di Masjid Rusila, Marang pada 19 September lalu seperti didakwa Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah menegaskan tuduhan itu tidak berasas dan boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan serta moral anggota pasukan khas negara.
“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi,” tegasnya.
Beliau menjelaskan, kehadiran pasukan tersebut di masjid berkenaan sebenarnya sebahagian daripada latihan taktikal Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).
Latihan itu bertujuan membentuk daya tahan, disiplin serta kebijaksanaan anggota dalam melaksanakan misi penyamaran, termasuk kemampuan berinteraksi dengan masyarakat setempat.
Datuk Mohd Rosli turut memaklumkan bahawa pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran para pelatih, dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku.
“Masjid berkenaan hanya menjadi lokasi beriktikaf dan berehat selepas solat Asar sebelum mereka meneruskan tugasan seterusnya,” katanya.
Beliau menambah, latihan tersebut dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat di bawah seliaan jurulatih kanan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan isu laporan polis yang timbul telah diselesaikan secara baik selepas pihak masjid menerima penjelasan lanjut dan memohon maaf atas salah faham yang berlaku.
“Latihan STAR Team direka untuk melahirkan anggota Maritim yang bukan sahaja cekap dan berani, tetapi juga berakhlak serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.
Datuk Mohd Rosli menegaskan dakwaan kononnya Maritim Malaysia menyerbu masjid adalah fitnah berniat jahat terhadap agensi itu.



