SETELAH Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan UMNO mengadakan gencatan politik bagi membolehkan kerajaan menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani wabak Covid-19 di negara ini, Pakatan dan sekutu mereka, kini menjadi satu-satunya pihak yang tinggal – berpolitik ketika negara berusaha mengatasi gelombang ketiga wabak yang semakin meningkat.
Ini susulan tindakan ramai di kalangan ahli parlimen mereka membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mungkin dibahaskan dalam persidangan parlimen awal bulan lepas.
Tak hairan kenapa ramai di kalangan puak-puak ini cuba melecehkan gencatan politik yang diumumkan Zahid kerana mereka sedar, tanpa UMNO, hanya mereka sahaja yang tinggal untuk dipersalahkan bagi semua perkara buruk yang tercetus akibat kemelut politik yang mungkin berlaku selepas ini – paling tidak dari segi persepsinya.
Kenyataan seorang pemimpin DAP semalam dan PAN tak lama selepas itu, seakan menyokong hakikat berkenaan.
Dari segi politik, sudah tentunya apa pun keputusan yang menjejaskan parti lawan, adalah bukti kewibawaan pimpinan, dalam hal ini, Zahid.
Sekalipun kemelut politik yang UMNO terlibat sebelum ini sehingga membawa kepada gencatan politik kelmarin, bukan semata-mata berkenaan kepentingan politik parti itu sahaja, dengan banyak juga darinya yang berkaitan dengan rakyat seperti cadangan lanjutan moratorium secara automatik yang ditolak kerajaan dan sebagainya, tapi sentimen dibawah tidak seperti itu.
Sentimen itu, disulam dengan hasutan pembangkang, diakhirnya hanya akan membawa kesan moral yang buruk kepada UMNO.
Zahid sedar akan perkara tersebut dan beliau tahu apa yang perlu diutamakan, kepentingan mana yang perlu disegerakan, dalam masa yang sama, memperlihatkan kepada umum bahawa UMNO turut memahami kehendak rakyat secara keseluruhan walaupun mungkin berlawanan dengan kehendak ahli parti diperingkat akar umbi.
Wibawa ini hasil pengalaman bertahun-tahun Zahid dan UMNO sendiri dalam kerajaan – apa sekalipun, rakyat perlu diberi keutamaan terutama dalam menghadapi saat-saat sukar seperti sekarang.
Dalam perkembangan sekarang, ahli UMNO dibawah pun boleh menerima keputusan terbaru Zahid ini kerana mereka turut memahami keutamaan yang perlu diberikan parti ketika kes Covid semakin meningkat.
Buktinya, setelah diumumkan kelmarin, semakin banyak pihak dalam parti menerima keputusan tersebut seperti sokongan dari sayap pemuda parti itu dan Badan Perhubungan UMNO Sabah hari ini.
Apa pun, diharapkan tidak ada pihak lain dalam kerajaan yang cuba mengambil kesempatan di atas keputusan ini. Namanya pun gencatan politik, “taring UMNO masih terbenam” cuma tidak ada daging yang akan terkoyak buat sementara waktu.
Rozana Abd Razak
Sentul