Kuala Lumpur – Pemuda UMNO membuat ketetatapn untuk menyokong ‘gencatan politik’ seperti yang disarankan oleh Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ketetapan itu diambil melalui mesyuarat Exco yang diadakan malam tadi secara atas talian.
“Menyokong gencatan politik (political ceasefire) sebagaimana yang disarankan Presiden UMNO, sekaligus dihentikan segera sebarang polemik perebutan kuasa di saat rakyat susah dan gelisah mengharungi cabaran Pandemik Covid-19 termasuk natijah kegawatan ekonomi yang melanda.
“Menolak sebarang kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun parti-parti dalam Pakatan Harapan terutamanya DAP untuk menjatuhkan Kerajaan sedia ada, hanya bertujuan memenuhi hasrat beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya melalui satu kenyataan sebentar tadi.
Menurut Ashraf mesyuarat tersebut turut mendesak kerajaan untuk menyediakan satu pelan jangka panjang bagi berdepan dengan kemelut kemiskinan yang balal berlaku akibat pendemik Covid-19.
“Mendesak agar Kerajaan segera menyediakan Pelan Tindakan Khas (Blueprint) untuk menangani kemelut 2.4 juta rakyat yang bakal kehilangan pekerjaan dan lebih 1.26 juta rakyat yang dijangka mengalami kemiskinan bagi tempoh beberapa bulan akan datang.
“Menyarankan agar Kerajaan melanjutkan moratorium secara pukal sekurang-kurangnya bagi tempoh 3 bulan lagi.
“Meminta Kerajaan mempertimbangkan bantuan tambahan RM1,000 setiap penerima BPN Sabah yang cuma menelan kos RM737 juta. Ini jauh lebih pantas dan berkesan berbanding hantaran bantuan bakul makanan yang dirumitkan oleh masalah logistik dan rekod penerima yang tidak lengkap,” katanya lagi.
Menurut Ashraf lagi, Pemuda UMNO akan menggerakkan jentera sayap parti itu di seluruh 191 Bahagian bagi menjadi pemudahcara antara rakyat dengan agensi-agensi kerajaan.
Ia antara lain bagi membantu mereka khususnya anak-anak muda yang sedang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dan sosial.