Enggan sorok kisah cinta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Meskipun bercinta pada usia muda, ia tidak menjadi alasan untuk penyanyi muda, Ismail Izzani merahsiakan hubungan cintanya.

Bagi pelantun single Ada Cara itu, hubungannya bersama penyanyi baharu, Shalma Eliana bukan suatu perkara yang salah hingga perlu disembunyikan.

Ismail Izzani atau nama sebenarnya, Ismail Izzani Zainal Nazeri berkata, keterbukaan dalam laman sosial bukan perkara yang salah, memandangkan keluarga sudah sedia maklum akan perhubungannya.

“Apabila terbuka, kami dapat berkongsi lebih banyak dan apa yang dikongsikan di laman sosial bukan benda buruk. Saya tahu ia tetap ada sisi negatif dan positif, mengikut cara seseorang memandang sebab pandangan setiap orang berbeza.

“Sesetengah orang positif akan nampak kami saling memberikan motivasi antara satu sama lain, apatah lagi kami dalam industri yang sama.

“Memandangkan Shalma masih baru dalam industri dan dia pun sedang membina nama, jadi kami lebih banyak berkongsi soal kerjaya. Malah, kami sentiasa mengingatkan diri perlu fokus pada diri dan kerjaya dahulu,” ujar penyanyi yang popular dengan lagu Nyawa ini.

 

Keterbukaan Ismail Izzani dan Shalma Eliana dalam laman sosial bukan perkara yang salah, memandangkan keluarga sudah merestui perhubungan yang terjalin. - Foto IG Shalma Eliana
Keterbukaan Ismail Izzani dan Shalma Eliana dalam laman sosial bukan perkara yang salah, memandangkan keluarga sudah merestui perhubungan yang terjalin. – Foto IG Shalma Eliana

 

Sehubungan itu, Ismail berkata, mereka saling menyokong antara satu sama lain dan menjadi tulang belakang.

Perkenalan pasangan itu bermula sejak berada di tingkatan 2 dan mulai rapat apabila Shalma memilih lagu Ismail, Sabar sebagai lagu ‘cover’ pertamanya yang dimuat naik di laman YouTube.

“Awalnya, saya ingatkan Shalma seorang yang bercita rasa tinggi. Waktu kami di tingkatan 3, saya pernah keluar dengannya bersama rakan lain dengan hanya berbekalkan RM20 dalam poket. Saya tiada keyakinan nak bercakap dengannya ketika itu.

“Bagaimanapun, Shalma ada menghantar mesej langsung (DM) pada 2018. Dia memberitahu lagu ‘cover’ pertamanya adalah lagu saya, Sabar. Saya teruja sebab daripada tingkatan 2 saya memerhatikannya.

“Dari situlah, kami mulai berhubungan dan apabila bertemu. Saya terkejut kerana Shalma seorang yang ringkas. Keperibadiannya juga bersahaja, itulah yang membuatkan saya tertarik,” dedah anak kepada penyanyi era 1990-an, Datin Suliza Salam.

 

Ismail Izzani menyokong kerjaya kekasihnya, Shalma Eliana sebagai penyanyi. - Foto IG Shalma Eliana
Ismail Izzani menyokong kerjaya kekasihnya, Shalma Eliana sebagai penyanyi. – Foto IG Shalma Eliana

 

Sementara itu, calon Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) Ke-33 itu teruja menampilkan simgle baharu yang berjudul Ada Cara.

Kata penyanyi yang pernah digelar Justin Bieber Malaysia itu, single Ada Cara adalah lagu berentak R&B dan hip hop yang memperlihatkan sisi berbeza dirinya.

Ismail turut menyifatkan single berkenaan sebagai sesuatu yang jauh berbeza daripada semua lagu yang pernah dilancarkan, sekali gus mengetengahkan sisinya lebih matang dalam berkarya.

“Ramai yang tahu Ismail Izzani sinonim dengan lagu pop seperti Sabar, tetapi itu hanyalah 60 peratus daripada saya. Genre utama saya adalah R&B dan itu yang saya mahu sampaikan menerusi single Ada Cara.

“Zaman lagu Sabar ketika masih bergelar budak-budak. Bagaimanapun, single Ada Cara pula saya mahu tunjukkan kematangan dari segi imej dan muzik.

“Jujurnya, single ini adalah langkah besar untuk saya, tetapi ini adalah masa yang sesuai untuk permulaan baru bagi Ismail Izzani,” katanya yang melancarkan single Ada Cara pada 30 September lalu.

Penyanyi berusia 20 tahun itu berkata, single Sabar juga bagi memenuhi permintaan ramai peminat yang lebih menggemarinya menyanyikan lagu rancak.

Single Ada Cara adalah salah satu lagu yang akan dimuatkan dalam album pertamanya. Album yang akan memuatkan 10 lagu itu dijangka akan menemui peminat selewat-lewatnya awal tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Ismail turut terbabit dalam penggambaran drama Lelaki Lingkungan Cinta yang bakal ditayangkan di slot Lestary, TV3. Drama terbitan Zeel Production itu menampilkan Ismail bergandingan bersama Naim Daniel, Shasha Abedul dan ramai lagi.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat