KUALA LUMPUR — ‘Walaupun peringkat awal Parti Amanah Negara macam keras sikit, tapi Alhamdulillah telah diselesaikan, jelas Datuk Mohd Jais Sardy.
Ketua UMNO Bahagian Kluang itu berkata tiada masalah berhubung pemilihan calon bagi kerusi DUN Mahkota biarpun terdapat sedikit perselisihan namun sudah diselesaikan.
Jelasnya, UMNO Keluang juga telah bersedia untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.
“Di peringkat bahagian Kluang semua jentera di peringkat cawangan UMNO dan juga peringkat PDM sudah sedia, malah sudah ada program di peringkat PDM pada masa ini.
“Kita tiada masalah dari segi calon. Yang penting calon ini mesti di kalangan pimpinan UMNO bahagian sama ada peringkat tertinggi ataupun sayap.
“Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan kawan-kawan kita di peringkat Pakatan Harapan (PH). Walaupun peringkat awal Parti Amanah Negara macam keras sikit, tapi Alhamdulillah telah diselesaikan dan mereka juga akan bersama-sama membantu kita sebagaimana kita bantu mereka di PRK Parlimen Pulai dan juga (PRK DUN) Sungai Jeram,” katanya pada sidang media di Perhimpunan Agung Umno 2024 hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Johor itu berkata jentera pilihan raya di peringkat cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga sudah ditubuhkan.
Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.