KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah mengingatkan untuk menggapai cita-cita besar menjadi parti politik dominan Umno perlu menang bergaya dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Namun katanya, untuk menang dalam perebutan kerusi pilihan raya, Umno perlu kembali kuat dengan mengubah strategi dan pendekatan.
“Tadi disebut dalam ucapan Dasar Presiden apa yang akan parti lakukan masih terbuka. Yang kita mahu adalah ahli mesti menerima ideologi parti, dia tidak nyatakan tapi dia bagi dua pilihan.
“Apa yang penting kita mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa kita kekal dengan identiti Umno sebagai sebuah parti yang mahu menjadi dominan dan parti kepada semua orang Melayu, Bumiputera dan memperjuangkan Islam serta membela kepentingan kaum-kaum lain.
“Itu ada kayu ukur. Tentukan nak jadi parti dominan adalah kita kena kembali kuat, kena menang pilihan raya jadi perubahan telah berlaku kepada rakyat tapi soal pendekatan soal dan strategi mesti berubah..
“Tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lama dan lapuk yang tidak lagi sesuai dengan perubahan yang berlaku, soal media sosial dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Laman Media, WTC Kuala Lumpur pada Jumaat.
Menurut Ahli Parlimen Lenggong itu, untuk kembali menjadi dominan Umno-Barisan Nasional perlu menang PRU-16 dan tentunya ia disusuli dengan syarat-syaratnya.
Nak jadi dominan perlu menang pilihan raya dan kena ada syarat-syaratnya.
“Umno kena kembali kuat, kena ada perubahan politik di mana dalil kita telah buktikan di PRK DUN Nenggiri.
“Ini antara perkara besar yang Presiden sebutkan tadi,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri itu lagi.
Sementara itu, Shamsul Anuar ada menyebut dari dulu lagi Umno tidak pernah bergerak solo, bahkan katanya tidak pernah ada dalam sejarah Umno bergerak solo.
“Umno tidak bertanding atas kerusi solo, kita bertanding atas tiket BN makanya bersama rakan-rakan parti lain seperti MCA dan MIC.
“Tapi kali ini, kita nak tanding tentulah kita mahu menjadi rakan parti yang akhirnya dapat menawarkan yang terbaik kepada rakyat dengan sendirinya akan menjayakan apa yang Presiden Umno inginkan.
“Sampai hari ini MCA dan MIC kekal dengan kita, itu bukti Umno tidak pernah bergerak solo. Kalau solo pun tidak pernah Umno bertanding seorang diri,” katanya.