KUALA LUMPUR – Parti Wawasan Negara (Wawasan) hadir sebagai jambatan yang menghubungkan lebih ramai rakyat, memperluaskan sokongan serta mengukuhkan lagi kedudukan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan yang inklusif, stabil dan sedia mentadbir.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penyertaan Wawasan juga menjadi nilai tambah kepada kekuatan sedia ada PN terutamanya dalam memperjuangkan agenda perubahan yang berteraskan kompetensi, integriti dan kestabilan.
“Mesyuarat Khas Perwakilan Parti Cinta Malaysia (PCM) telah sempurna dilaksanakan pada Sabtu, 20 Jun 2026. Mesyuarat sebulat suara bersetuju penjenamaan semula dengan Wawasan Negara dipilih sebagai nama baharu parti.
“Sehubungan itu, saya merakamkan penghargaan kepada Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional atas kepercayaan menerima Parti Wawasan Negara sebagai parti anggota dalam PN.
“Keputusan ini membuka lembaran baharu bukan sahaja kepada Wawasan Negara, malah kepada usaha memperkukuhkan PN selaku gabungan yang semakin diyakini rakyat untuk memimpin Malaysia,” kata Hamzah dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Larut itu berkata lagi, sebagai parti berwajah Malaysia, Wawasan Negara membawa aspirasi rakyat daripada pelbagai latar belakang dan percaya masa depan negara hanya dapat dibina melalui kerjasama, kesederhanaan serta komitmen terhadap kepentingan nasional.


