KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan tatatertib terhadap seorang anggotanya yang didakwa menghina masyarakat setempat ketika melancong di China, baru-baru ini
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan bukan sahaja tertumpu kepada pelanggaran tatatertib, malah turut meliputi sebarang kemungkinan kesalahan di bawah undang-undang sekiranya terdapat unsur berkenaan.
“Kita telah menjalankan siasatan dan membuka kertas siasatan tatatertib terhadap anggota yang berkenaan. Bukan sahaja daripada sudut tatatertib, jika ada pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Pesara Polis Malaysia (RESPA) Kali Ke-42 lapor Sinar Harian pada Selasa.
Beliau turut mengingatkan semua pegawai dan anggota PDRM supaya sentiasa menjaga tatasusila, disiplin serta imej pasukan, sama ada ketika bertugas di dalam mahupun di luar negara.
“Sebagai anggota beruniform, kita terikat dengan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) pasukan, walaupun tidak memakai uniform,” katanya.
Khalid berkata, pihaknya akan memastikan siasatan dijalankan secara adil dan telus sebelum sebarang keputusan atau tindakan lanjut diambil terhadap anggota terbabit.
“Kita akan memberi keadilan yang sewajarnya dan siasatan dijalankan mengikut SOP serta undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Kontroversi membabitkan seorang pempengaruh yang juga anggota polis itu turut mendapat liputan meluas media luar negara selepas dia didakwa menjerit perkataan tidak sepatutnya sambil menutup hidung di tempat awam di negara berkenaan.



