Kerajaan Kekalkan Larangan Rentas Negeri – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Kerajaan kekal tidak akan membenarkan pergerakan rentas negeri berikutan ia adalah salah satu penyebab peningkatan kes positif harian COVID-19 di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Teknikal COVID-19 hari ini.

Katanya beliau sedia maklum keputusan ini sudah tentu tidak disukai rakyat, namun ia perlu diambil untuk menyekat penularan pandemik berkenaan.

“Di negara-negara lain tengok peningkatan kes yang berlaku. Di India kini rekodkan kes positif COVID-19 lebih 200,000 kes sehari melonjakkan angka positif keseluruhan melepasi 14 juta. Di ibu negara New Delhi puluhan hotel dan dewan perkahwinan ditukar menjadi pusat menempatkan pesakit COVID-19.

“Sudah pasti kita tidak mahu Malaysia jadi seperti itu. Jadi sekali lagi saya tekankan, supaya tingkatkan kawalan kendiri dan patuhi SOP, kita jaga kita,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata sejak 20 Dis 2020 hingga 20 April lepas, 38 kluster rentas negeri melibatkan 5,471 kes secara keseluruhan direkodkan dengan bulan ini sahaja tujuh kluster rentas negeri membabitkan 423 kes dilaporkan.

Katanya Kementerian Kesihatan (KKM) juga pernah merekodkan kes kluster tertinggi iaitu Kluster Pasai dengan 2,693 kes, berpunca daripada seorang warga Sarawak yang balik ke kampung pada waktu Krismas sehingga COVID-19 menular ke seluruh Sarawak.

Menurutnya di Kelantan pula sejak 7 Dis tahun lepas, 10 kluster rentas negeri telah direkodkan dengan sebahagiannya masih aktif sehingga kini dan menjangkiti beberapa generasi.

“Kluster rentas negeri ini bukan sahaja mengakibatkan penularan jangkitan COVID-19 kepada kawasan zon hijau, malah aktiviti seperti pulang ke kampung menghadiri majlis-majlis sosial juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia kini telah memasuki gelombang keempat penularan COVID-19, Ismail Sabri berkata negara masih berada di gelombang ketiga fasa dua.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata 140 individu dikompaun manakala 19 lagi direman semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan kesalahan tidak mendaftar masuk premis mencatatkan jumlah tertinggi melibatkan 62 individu, diikuti tidak memakai pelitup muka (39), tidak menjaga penjarakan fizikal (10) dan lain-lain (48).

Selain itu, katanya 56 pendatang tanpa izin ditahan dan 10 kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng di seluruh negara semalam. – Bernama

Topik Hangat

Lompat parti tak salah, SPRM tak berhak siasat – Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh melakukan siasatan ke atas ahli politik yang lompat parti kerana ia tidak menyalahi undang-undang...

‘Alhamdulillah aku dah cerai’ – Bekas suami Zarina Anjoulie

Kuala Lumpur: Bekas suami Zarina Anjoulie, Eilyas Azhar mengakui sudah menceraikan pelakon itu hari ini. Eilyas menerusi hantaran di Instagram Story mengakui bersyukur dengan penceraian...

Hamid Dedah Hamzah Mahu Guna Cawangan Khas Untuk Kepentingan Politik : Laporan

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador mendakwa wujud campur tangan Menteri Dalam Negeri (MDN) untuk menentukan...

Berita Berkaitan

Serangan Tentera Israel Di Masjid Al-Aqsa Satu Tindakan Keji Dan Tidak Berperikemanusian – Exco Pemuda UMNO

CYBERJAYA: Exco Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin mengecam serangan Tentera Israel terhadap umat Islam Palestin yang sedang beribadah di Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis tanpa...

Malaysia Kecam Pencerobohan Dan Serangan Tentera Israel Di Masjid Al-Aqsa

KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan tentera Israel di Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis. Ketegasan Malaysia itu disuarakan oleh Menteri Luar, Dato' Seri Hishammuddin...

Pahang Sumbang RM10,000 Ringankan Bebanan Siti Sarah

RAUB: Kerajaan negeri Pahang menyumbang sebanyak RM10, 000 untuk membantu adik Siti Sarah Ishak yang telah menjalani pembedahan jantung kali ke-2 di Hospital CVSKL...