Pencakar langit megah tak bermakna kalau rakyat hidup susah – Sultan Nazrin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Bangunan megah mencakar langit tidak memberi makna sekiranya masih ada rakyat yang terpaksa mengikat perut, mencatu makanan dan tidur berbumbung langit.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, usaha membasmi kemiskinan wajib diteruskan selagi ada rakyat yang miskin dan agenda menoktahkan kemiskinan menjadi satu daripada matlamat untuk menjamin kesejahteraan sosial rakyat.

“Menoktahi kemiskinan tegar menjadi tumpuan kerajaan beta di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, dengan matlamat mengagihkan kekayaan negeri seadil-adilnya untuk dinikmati oleh setiap rakyat.

“Usaha pembasmian kemiskinan bukan sekadar memberi fokus kepada peningkatan pendapatan, tetapi turut mengambil kira kualiti dan kesejahteraan hidup; direalisasikan dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang kukuh serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik,” titah baginda lapor Harian Metro di Ipoh pada Jumaat.

Sultan Nazrin bertitah dalam usaha memakmurkan negeri, kesalinghubungan kesihatan dan penentu sosial kesihatan yang membentuk kesejahteraan rakyat perlu diberikan perhatian.

Dalam pada itu, baginda bertitah pendidikan berperanan penting dalam usaha mengubah landskap kemiskinan, mengeluarkan rakyat dari kepompong kemiskinan dan menaik taraf kehidupan rakyat.

“Walaupun dasar berkaitan pendidikan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, kerajaan beta juga boleh melaksanakan inisiatif untuk membantu memastikan kadar tinggi kehadiran murid ke sekolah, dan menyediakan pelbagai insentif untuk menarik minat murid agar terus berada di bilik darjah.

“Tumpuan perlu diberikan kepada agenda pendidikan terutamanya kepada generasi kedua, agar kemiskinan tidak diwarisi oleh generasi akan datang; di sebaliknya akan berlaku mobiliti sosial keluarga ke tingkat yang lebih tinggi.

“Usaha membasmi kemiskinan yang dirintis oleh kerajaan Beta telah menyinarkan cahaya keyakinan. Berdasarkan data eKasih, jumlah kemiskinan tegar yang dikunci pada 31 Januari 2023 ialah seramai 9,402 ketua isi rumah,” titah baginda.

Titah baginda, berdasarkan sumber data yang sama, sehingga 31 Disember 2023, jumlah tersebut telah menurun kepada 3,911 ketua isi rumah, menunjukkan penurunan 58 peratus iaitu penurunan angka kemiskinan tegar disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuk usaha oleh pentadbiran daerah serta semua agensi pemberi bantuan yang memberikan komitmen tinggi.

“Semoga melalui kerjasama proaktif dari pelbagai pihak, merangkumi sokongan daripada badan-badan bukan kerajaan, tidak ada rakyat Beta yang terpinggir daripada menikmati hasil kemakmuran negeri.

“Kerajaan Beta perlu tegas melaksanakan program perumahan rakyat. Memenuhi keperluan perumahan rakyat hendaklah diutamakan dan didahulukan, berbanding memenuhi agenda komersial mengaut keuntungan oleh pemaju,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin lagi, dalam tempoh lima tahun, iaitu dari 2018 sehingga 2023, sebanyak 8,030 unit rumah mampu milik siap dibina di Perak dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) menganggarkan 57,407 unit rumah diperlukan menjelang tahun 2030.

Baginda bertitah ramai pembeli berada dalam status pendapatan tidak sepadan dengan harga rumah yang ditawarkan justeru menjadi antara penyebab pembeli gagal mendapatkan kelulusan pinjaman perumahan.

Dalam hasrat menangani masalah ketidaklayakan mendapatkan pinjaman, Sultan Nazrin bertitah LPHP telah memperkenalkan Skim Sewa Perak Sejahtera (SSPS) yang meletakkan kadar sewaan 20 peratus lebih rendah daripada kadar pasaran.

Baginda bertitah pada masa sama Yayasan Perak melaksanakan Program Sayangi Rumahku, iaitu program bantuan perumahan baharu secara percuma dan program baik pulih dan pembaikan rumah kepada golongan miskin.

“Program Rumah Perakku Prihatin pula menyediakan pinjaman perumahan tanpa faedah kepada golongan sasar yang layak.

“LPHP turut menghantar cadangan tapak kepada Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membina Program Perumahan Rakyat (PPR) di beberapa lokasi.

“Dengan persetujuan KPKT, melalui pembinaan tiga Program Perumahan Rakyat, dijangkakan 1,200 unit rumah dapat disediakan kepada rakyat di negeri Perak,” titah Sultan Nazrin.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat