KUALA LUMPUR – Situasi ekonomi Malaysia ketika ini tidak boleh disamakan dengan keadaan pada 1998 kerana kedudukan negara ketika ini jauh lebih baik walaupun mata wang tempatan sedang melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pada 1998, selain daripada kejatuhan ringgit, kadar inflasi dan pengangguran meningkat dan tiada pelaburan asing masuk dalam negara.
“(Berbeza) ketika ini, ia perlu dilihat secara keseluruhan, (Malaysia) mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah, kadar inflasi terus menurun dan kadar pengangguran turut berkurangan.
“(Malah) pertumbuhan (ekonomi negara) adalah berdaya tahan sama seperti negara jiran.
“Ya, (kejatuhan ringgit) adalah membimbangkan, tetapi kita sentiasa memantaunya dan bernasib baik (ringgit) mengukuh sedikit. Namun, perkara ini turut menjejaskan semua negara lain,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Menara Exchange 106 yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Jumaat.