Semua Mangsa Banjir Akan Terima Bantuan Selewat-Lewatnya Jumaat Ini – PDT Klang

- Advertisement -

SHAH ALAM – Masalah keciciran yang berlaku dalam kalangan pemohon bantuan mangsa banjir daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri hanya melibatkan jumlah kecil dan sudah pun diselesaikan.

Pegawai Daerah Klang, Mohd. Faizal Abdul Raji berkata, masalah tersebut sudah diselesaikan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dengan segera sebaik sahaja menerima aduan daripada pemohon yang membuat semakan.

“Kita ada minta pemohon untuk ambil gambar borang permohonan mereka yang sudah ada cap sudah terima pada borang mereka.

“Sekiranya merasakan permohonannya tercicir, pemohon boleh mengemukakan aduan beserta gambar borang tersebut supaya kami boleh semakan atau buat permohonan baru untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama, Seksyen 32, di sini hari ini.

Mengulas mengenai program tersebut, dijangka hampir 4,000 pemohon yang akan hadir ke sini hari ini.

Jelas Mohd. Faizal, secara keseluruhan hampir 14,000 mangsa banjir akan menerima dua bantuan berkenaan di empat lokasi lain di sekitar daerah Klang.

“Saya optimis semua mangsa banjir akan menerima dua bantuan ini selewat-lewatnya hari Jumaat ini.

“Kita juga bercadang untuk membuka satu kaunter khas di PDT Klang pada hujung minggu ini untuk memberi peluang kepada pemohon bantuan bagi mendapatkan bantuan itu, sekiranya mereka tidak dapat hadir pada hari yang sepatutnya mereka datang ambil bantuan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penerima bantuan supaya tidak perlu hadir terlalu awal ke pusat pengagihan bantuan, sebaliknya hadir di pusat itu pada waktu temujanji yang telah mereka terima daripada pihaknya.

Menurutnya, duit bantuan yang diperuntukkan kerajaan pusat dan negeri adalah secukupnya, mengikut permohonan mangsa banjir yang telah diluluskan.

“Ada mangsa banjir bagi alasan hadir awal ke pusat agihan kerana takut duit bantuan habis dan sekaligus mereka tak dapat. Mereka tak perlu risau kerana duit bantuan telah diperuntukkan secukupnya kepada mangsa banjir yang lulus permohonannya,” ujarnya. Utusan

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat