CYBERJAYA – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, menggesa semua anggota parti untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 14 Januari bagi menyuarakan suara akar umbi, selepas beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dilaporkan meraikan keputusan mahkamah yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tahanan rumah.
Dalam kenyataan video yang dimuat naik, Dr Akmal menegaskan bahawa sambutan kegembiraan oleh pihak pembangkang dianggap menghina akar umbi UMNO dan orang Melayu:
“Tak apa. Kamu nak suka tak ada masalah. Tapi bila kamu post secara publik, maksudnya kamu menghina kami orang UMNO sini.”
Beliau juga menekankan bahawa PAU kali ini harus menjadi “medan keramat suara orang Melayu”, dengan anggota UMNO berani menyuarakan pendapat mereka secara terbuka, termasuk kemungkinan menarik sokongan daripada kerajaan perpaduan:
“Cukup-cukuplah. Kita ajar mereka ni. Kita tarik sokongan daripada mereka ni. Biar kita duduk jadi pembangkang yang bermaruah.”
Dr Akmal menyifatkan situasi semasa sebagai membuktikan bahawa UMNO tidak perlu menunggu lagi untuk mengambil langkah tegas demi maruah dan suara akar umbi:
“Dulu, masa nak bentuk kerajaan atas titah Tuanku yang dituan agung. Hari ni, titah Tuanku yang dituan agung dah tak valid pula katanya. Jadi, apa lagi yang kita tunggu?”
Beliau menyeru semua perwakilan UMNO, dari peringkat cawangan hingga kepimpinan atasan, untuk hadir ke PAU bagi menyuarakan pendirian sebenar akar umbi Melayu, bukan hanya melalui media sosial. Menurut Dr Akmal, maruah dan keberanian parti untuk bersuara adalah lebih penting daripada hanya mengekalkan kedudukan dalam kerajaan.



