Oleh Zihan Zari
BERTAM – Lebih 500 penduduk Residensi Limonia Lakeside Bertam daripada pelbagai peringkat umur hadir memeriahkan dan menyertai Merdeka LARA 2026, bertemakan “Semangat Merdeka, Semangat Komuniti”,
telah memasuki tahun kesembilan penganjurannya.
Merdeka Lara 2026 dianjurkan oleh Persatuan Residensi Limonia Lakeside Bertam (LARA) menjadi wadah kepada penduduk untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, di samping memperkukuh hubungan kejiranan serta memupuk semangat kerjasama dan kekitaan dalam komuniti.
Merdeka LARA 2026 telah dilaksanakan sepanjang Bulan Kebangsaan menerusi rangkaian aktiviti sukan dan kemasyarakatan dengan acara kemuncaknya dirasmikan oleh Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Zainuddin Mohamed di Padang 2C, Bertam Lakeside, Bertam Perdana 2, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras KADUN Pinang Tunggal, Muhammad ‘Adil Fitri Mat Aripin; Pegawai Penerangan Daerah Seberang Perai Utara, Siti Hafsah Zainal Abidin; dan Pengerusi LARA, Muhammad Taufik Abdul Wahab; wakil-wakil agensi kerajaan, rakan strategik, jawatankuasa persatuan, urus setia dan sukarelawan.
Zainuddin Mohamed berkata, sokongan terhadap usaha komuniti menganjurkan program yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Beliau telah mengumumkan sokongan peruntukan bagi membantu menampung perbelanjaan penganjuran program serta mengetengahkan cadangan penyediaan kemudahan outdoor gym di kawasan berkenaan melalui peruntukan MBSP bagi tahun 2027.
Katanya, kemudahan tersebut diharapkan dapat menyediakan ruang riadah yang lebih kondusif kepada penduduk, sekali gus menggalakkan amalan gaya hidup aktif dan sihat.
Beliau turut menyokong hasrat persatuan penduduk untuk memanfaatkan kawasan lapang bersebelahan Dewan Komuniti sebagai kebun komuniti di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), tertakluk kepada permohonan rasmi dan ulasan jabatan berkaitan.
Aktiviti Sukan Meriahkan Merdeka LARA 2026
Rangkaian pengisian Merdeka LARA 2026 dimulakan dengan Pertandingan Bola Sepak Merdeka LARA pada 12 September di Padang 2D, Bertam Lakeside, melibatkan empat pasukan, dengan setiap pasukan dianggotai tujuh pemain daripada pelbagai lapisan umur.
Penganjuran secara terbuka kepada komuniti memberi peluang kepada penduduk untuk bergiat aktif dalam sukan, selain mewujudkan ruang interaksi dan mengeratkan hubungan sesama jiran melalui persaingan yang sihat.
Pengisian sukan diteruskan pada 13 September menerusi Kejohanan Pickleball Merdeka LARA di GOAT, Seberang Jaya, yang menyaksikan penyertaan 12 pasangan lelaki dan enam pasangan wanita.
Penyertaan daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang tersebut bukan sahaja menggalakkan gaya hidup aktif, malah mewujudkan suasana santai dan meriah dalam kalangan komuniti.
Acara Kemuncak Himpun Penduduk
Acara kemuncak pada 16 September bermula seawal pagi dengan penduduk berkumpul di Padang 2C, diikuti bacaan doa dan ucapan pembukaan oleh Pengerusi LARA.
Suasana kemudiannya dimeriahkan dengan LARA Fun Walk, senamrobik dan sarapan bersama, sebelum penduduk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Antara pengisian utama, Pertandingan Mewarna Merdeka dan Kuiz Kemerdekaan bagi kanak-kanak, Ketuk-Ketuk Belanga Keluarga LARA, serta Sukaneka Keluarga LARA yang mempertandingkan pelbagai acara mengikut kategori kanak-kanak, lelaki, wanita serta berpasangan atau berkumpulan.
Antara acara sukaneka yang mencuri perhatian ialah Cabaran Biskut & Bendera, Susun Cawan Terpantas, Relay Kepit Belon, Pass Cawan Guna Belon, Lumba Sudu & Limau, Lumba Kain Batik, Lumba Ikat Kaki dan Lumba Pemindahan Air Menggunakan Span.
Keseluruhan aktiviti berjaya menarik penglibatan penduduk daripada pelbagai peringkat umur, sekali gus menjadikan sambutan Merdeka LARA 2026 berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan, kekeluargaan dan semangat kesukanan.
Pelbagai Agensi Santuni Komuniti
Acara kemuncak turut dimeriahkan dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik menerusi pameran, perkhidmatan serta aktiviti interaktif kepada penduduk.
Antara agensi terlibat, Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara, Farmasi Hospital Kepala Batas, Politeknik Seberang Perai, pasukan Upcycle MBSP, Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Utara serta Jualan MADANI.
Penglibatan agensi tersebut memberi peluang kepada penduduk mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan dan berinteraksi secara lebih dekat dengan wakil agensi.
Jualan MADANI turut mendapat sambutan menggalakkan, manakala pasukan Upcycle MBSP mengetengahkan hasil kreativiti berasaskan bahan yang boleh dikitar semula, sekali gus memberi pendedahan kepada komuniti mengenai kepentingan amalan kelestarian.
Pertandingan Memasak Eratkan Kerjasama Jiran
Turut menjadi tarikan, Pertandingan Memasak Antara Lorong yang menyaksikan penduduk berganding bahu menyediakan hidangan bagi mewakili lorong masing-masing.
Pertandingan tersebut bukan sahaja menguji kreativiti dan kemahiran memasak, malah menjadi ruang untuk penduduk bekerjasama, berinteraksi dan mengeratkan hubungan kejiranan dalam suasana santai.
Bagi memastikan penilaian dibuat secara lebih profesional, pertandingan tersebut turut dibantu oleh dua orang pensyarah bidang perhotelan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh yang dijemput sebagai panel penilai.
Pihak persatuan turut menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada kedua-dua pensyarah atas kesudian meluangkan masa dan memberikan kerjasama dalam menjayakan pertandingan berkenaan.
Sokongan Pelbagai Pihak Perkasa Komuniti
Penganjuran Merdeka LARA 2026 turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Ahli Majlis MBSP; Pegawai Penyelaras KADUN Pinang Tunggal; dan Komuniti MADANI Bertam Perdana.
Sembilan Tahun Kekal Jadi Tradisi Komuniti
Dalam pada itu, Pengerusi LARA, Muhammad Taufik Abdul Wahab berkata, Merdeka LARA merupakan sebahagian daripada usaha berterusan persatuan dalam menyemai semangat kejiranan dan memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.
Katanya, penganjuran tersebut memberi peluang kepada penduduk untuk keluar daripada rutin harian dan bersama-sama menyertai aktiviti yang melibatkan keluarga, jiran tetangga serta komuniti secara keseluruhannya.
“Inilah cara kami menyemai semangat kejiranan dan menjaga ukhuwah sesama tetangga. Masing-masing mengambil bahagian dalam aktiviti masing-masing, ada yang memasak, bersantai, mewarna dan bersukaneka, ”katanya lagi.
Ujarnya, kesinambungan penganjuran selama sembilan tahun membuktikan komitmen komuniti LARA untuk menjadikan sambutan kemerdekaan sebagai satu acara yang dapat menghimpunkan penduduk secara berterusan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, rakan strategik, Ahli Majlis MBSP, Pegawai Penyelaras KADUN Pinang Tunggal, Komuniti MADANI Bertam Perdana, jawatankuasa persatuan, urus setia, sukarelawan serta seluruh penduduk yang memberikan sokongan dalam menjayakan Merdeka LARA 2026.
Semangat Merdeka, Semangat Komuniti
Merdeka LARA 2026 memperlihatkan bagaimana semangat kemerdekaan dapat diterjemahkan melalui aktiviti yang dekat dengan masyarakat, khususnya menerusi sukan, aktiviti kekeluargaan, kreativiti dan kerjasama kejiranan.
Daripada pertandingan bola sepak pada 12 September, kejohanan pickleball pada 13 September hinggalah acara kemuncak pada 16 September, keseluruhan rangkaian aktiviti memberi ruang kepada penduduk untuk mengambil bahagian mengikut minat dan peringkat umur masing-masing.
Lebih daripada sekadar pertandingan dan aktiviti, Merdeka LARA 2026 menjadi ruang untuk menghubungkan jiran, mengeratkan silaturahim, menggalakkan gaya hidup aktif serta menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda dan seluruh komuniti.
Tradisi ini diharapkan dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang sebagai wadah untuk bersama-sama membina komuniti yang aktif, harmoni, prihatin dan saling menyokong. – SUARA.TV


