PM umum ekosistem perindustrian domestik yang lebih strategik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan pelaburan langsung domestik (DDI) sebagai salah satu petunjuk prestasi utama bagi menjana jumlah pelaburan negara kerana ia berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk sentiasa mengimbangi kedua-dua FDI dan DDI bagi merangsang pembangunan yang lestari dan seimbang di seluruh negara.

Menteri Kewangan itu berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) kali kedua pada Selasa.

Anwar juga menyatakan , kewujudan ekosistem perindustrian domestik secara lebih strategik amat penting bagi menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mampan.

Selain itu, jelas Perdana Menteri, ia juga akan memperkasa ekosistem ekonomi domestik dalam menghadapi cabaran global seperti ancaman perubahan iklim serta pelbagai cabaran pasca pandemik dan geopolitik yang menyebabkan rantaian bekalan terganggu, harga bahan mentah meningkat dan kadar inflasi global yang tinggi.

Tegas beliau, walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan peningkatan DDI, namun ia perlu ditingkatkan dengan lebih menyeluruh lagi.

Sehubungan itu, Anwar berkata, mesyuarat MPN hari ini juga menekankan salah satu mesej Ekonomi Madani iaitu kepentingan kerjasama dan pembabitan strategik oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk memperkasakan DDI.

Ujar beliau, secara keseluruhan, GLIC mengurus aset pelaburan bernilai lebih RM1.7 trilion dan memainkan peranan penting bukan sahaja memacu pembangunan infrastruktur kritikal dan membolehkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi baharu, tetapi juga membantu menarik pelabur asing ke Malaysia.

“MPN mengakui bahawa DDI dan FDI mempunyai kebergantungan antara satu sama lain dan saling melengkapi. FDI penting bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi manakala DDI penting bagi memperkukuh ekonomi negara.

“Walaupun beberapa kajian telah mengesahkan faedah FDI kepada negara, pemerkasaan pelaburan domestik berkualiti tinggi adalah sama penting dan mesti terus dipermudah dalam memacu ekonomi negara sekali gus mengembangkan struktur rantaian industri, terutamanya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” kata Perdana Menteri lagi.

Bagi tahun 2022, sejumlah RM267.7 bilion pelaburan daripada 4,517 buah projek diluluskan daripada pelbagai sektor ekonomi (sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama) yang bakal menjana 140,440 peluang pekerjaan.

“DDI menyumbang sebanyak RM104.4 bilion (38.9 peratus) kepada jumlah ini. Manakala bagi suku pertama 2023, nisbah FDI:DDI adalah 52.5 peratus bagi FDI dan 47.5 peratus bagi DDI, daripada komitmen pelaburan berjumlah RM71.4 bilion (peningkatan 59.7 peratus tahun-ke-tahun.)

“Peningkatan nisbah DDI mencerminkan peningkatan keyakinan syarikat dan perniagaan tempatan terhadap dasar kerajaan semasa,” kata Perdana Menteri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat