‘Artis, kru belum lengkap dua dos vaksin’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Warga penggiat seni kreatif bagaikan mendapat ‘talian hayat’ apabila kebenaran aktiviti penggambaran di luar studio dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Namun, timbul beberapa isu apabila SOP ketat dikenakan terhadap syarikat produksi yang mahu menyambung kerja penggambaran tertangguh.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata, syarat itu meletakkan mereka dalam dilema.

“Kami tiada masalah untuk mematuhi garis panduan, namun, syarat memastikan kru dan pelakon mendapat dua dos vaksin COVID-19 adalah di luar kawalan.

“Ada antara kru dan artis sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, tetapi belum mendapati tarikh janji temu.

“Untuk memastikan semua petugas sudah mendapat dua suntikan vaksin, penggambaran tidak dapat dibuat pada waktu terdekat.

“Tambahan pula, tempoh antara dos pertama dan kedua, kita perlu menunggu hingga tiga minggu,” katanya kepada BH Online.

Mencadangkan penyelesaian isu vaksin COVID-19 kepada penggiat seni, Jurey berkata, syor menjadikan Kompleks FINAS di Hulu Klang sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu disegerakan.

 

Presiden PVTM, Datuk Jurey Latiff Rosli berpendapat syarat baharu meletakkan penggiat seni kreatif dalam dilema apabila belum lengkap dua dos vaksin.
Presiden PVTM, Datuk Jurey Latiff Rosli berpendapat syarat baharu meletakkan penggiat seni kreatif dalam dilema apabila belum lengkap dua dos vaksin.

 

Tambahnya, andai syarat dua dos suntikan vaksin COVID-19 dilonggarkan kepada satu suntikan sahaja, lebih banyak syarikat produksi yang perlu menyambung penggambaran, dapat bekerja.

Selain itu, Jurey berharap FINAS menimbangkan pemberian semula Insentif Saringan Prihatin sebanyak RM5,000 kepada syarikat produksi untuk menjalankan ujian calitan.

Tambahnya, syarikat produksi memerlukan modal RM10,000 setiap kali memulakan kerja penggambaran bagi melakukan ujian calitan dua kali iaitu sebelum dan selepas penggambaran.

Sementara itu, Siti Rosmizah Semail iaitu penerbit drama Cukup Derita Itu yang perlu menyambung penggambaran selepas kerja ‘tergantung’, mengaku sukar meneruskan hajat kembali ke lokasi ‘shooting’.

“Dalam senarai kami, ramai pekerja belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 lengkap. Kerja penggambaran hanya boleh diteruskan apabila semua orang sudah mendapat vaksin… Ini akan mengambil masa.

“Seperkara lagi, kami perlu menukar lokasi penggambaran mengikut kawasan Fasa 2 PPN yang kebanyakannya di luar daerah.

“Sebelum ini, lokasi penggambaran drama ini hanya di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

 

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi minta penggiat seni kreatif yang kembali bekerja agar mematuhi SOP setiap masa.
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi minta penggiat seni kreatif yang kembali bekerja agar mematuhi SOP setiap masa.

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi meminta penggiat seni yang kembali bekerja agar mematuhi SOP setiap masa.

“Jangan ambil mudah soal SOP. Ruang sudah dibuka untuk bekerja dan meneruskan kelangsungan hidup. Fikirkan setiap kelalaian hanya menyusahkan semua pihak,” katanya.

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khir Mohd Noor berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap individu yang melanggar SOP.

“Saya harap pihak berkuasa ambil tindakan tegas jika penggiat seni tidak mematuhi SOP. Jangan kira artis hebat atau tidak. Beri saman jika ingkar dan jangan fikir golongan seni ini kebal,” katanya.

Khir juga mencadangkan agar kru dan pelakon hanya dibenarkan bekerja dengan sebuah syarikat produksi pada suatu masa.

“Mereka tidak boleh ‘lompat’ dua atau tiga syarikat produksi kerana SPP dikeluarkan hanya pada sebuah syarikat produksi. Kalau ini berlaku, diambil tindakan kepada yang ingkar,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat