PdPR: Yayasan Petronas Sumbang 58 Perati Digital Kepada Pelajar Di Melaka

- Advertisement -

ALOR GAJAH: Yayasan Petronas menyumbang 58 peranti digital dengan kemudahan jalur lebar bernilai RM145,000 kepada 58 pelajar di Melaka, dalam usaha memberikan kemudahan akses lebih baik kepada mereka untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan Sazli Zakaria berkata, sumbangan peranti digital berkenaan merupakan komitmen terhadap CERDIK yang merupakan inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan normal baharu pembelajaran dalam talian, e-pembelajaran dan lain-lain bentuk pengajaran jarak jauh.

“Melalui CERDIK ini, kami mahu menyediakan kemudahan akses yang efisien bagi mendapatkan pendidikan berkualiti, selain merapatkan jurang digital kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan serta luar bandar.

“Semoga mereka tidak lagi ketinggalan dalam mengejar kecemerlangan akademik, terutama sewaktu pelaksanaan sekarang pergerakan dan sistem pembelajaran PdPR,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sazli berkata peranti digital berkenaan diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, untuk diedarkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebong, dengan setiap peranti lengkap dengan perkhidmatan jalur lebar percuma, penyelenggaraan, sokongan teknikal dan juga jaminan, bagi menyokong keperluan pelajar untuk tempoh akademik tiga tahun.

Dalam perkembangan sama, kenyataan itu menyebut Yayasan Petronas sejak Mei tahun ini, telah mengedarkan 12,000 peranti digital dengan peranti sokongan, berjumlah RM30 juta kepada 81 sekolah di 69 daerah di seluruh negara, dengan keutamaan kepada sekolah dengan majoriti pelajar daripada isi rumah kurang berkemampuan.

Sumbangan CERDIK berkenaan, melengkapi pelbagai inisiatif berkaitan pendidikan oleh Yayasan Petronas yang memberi manfaat kepada pelajar dan guru, termasuklah program ‘Kembali ke Sekolah’ pada Mac lepas, di mana peralatan sekolah dan kit kebersihan diedarkan kepada 21,000 keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara.

Yayasan Petronas turut menganjurkan Program Duta Guru, iaitu sebuah kolaborasi antara yayasan berkenaan dengan Kementerian Pendidikan di mana Guru Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, telah menerima kit pengajaran dan bimbingan dalam menyampaikan pembelajaran dalam talian, untuk hasil pembelajaran yang lebih baik.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat