Mujahid Salah Faham Jemputan Suara TV

- Advertisement -

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini mengulas jemputan debat berkenaan isu Tabung Haji dengan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

“Dia tak beritahu saya pun untuk berbincang berkenaan perkara (program debat) ini, saya pun katalah ia palsu.

“[..] Belum debat dah fitnah… saya nak platform bebas dan saya difahamkan dia nak buat di SuaraTV di PWTC dan moderator pun kita kenal siapa,” kata bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu,  sebentar tadi.

Portal Malaysiakini kemudiannya melaporkan debat tersebut akan dijalankan malam ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Sedangkan berdasarkan jemputan yang dibuat, SuaraTV selaku pengajur mencadangkan tarikh debat bertajuk ‘Tabung Haji: Dimanakah Silapnya’ diadakan pada 28 Julai (minggu hadapan).

SuaraTV selaku penganjur telah berulang kali cuba menghubungi Mujahid bagi mendapatkan persetujuan sebelum ini, namun gagal mendapat sebarang maklumbalas.

Malah sehingga berita ini ditulis, tiada sebarang jawapan yang diberikan sama ada menerima atau menolak debat tersebut.

Mujahid pada Selasa, mencabar Azeez untuk berdebat tanpa sebarang syarat dalam hal berhubung dakwaan salah urus institusi kewangan yang menguruskan dana umat Islam sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Cabaran debat tersebut kemudiannya disambut oleh Abdul Azeez melalui laman Facebooknya lewat malam tadi.

“Hari ni saya mendapat satu jemputan debat seperti dibawah dan saya dengan jiwa yang terbuka bersetuju dengan cadangan ini.

“Semoga ahli panel yang dicadangkan, YB Parit Buntar dapat memberikan jawapan untuk cadangan debat ini.

“Saya menunggu maklum balas dari pencadang samada YB Parit Buntar sudi dengan jemputan ini. Kebetulan hari raya korban nak dekat dah ni,” ujarnya lewat malam tadi.

Renteran kenyataan tersebut, Mujahid kemudiaanya menetapkan syarat baharu sekiranya ingin meneruskan debat.

“Saya bersetuju debat bersama YB Azeez Rahim menggunakan platform yang bebas seperti Sinar Harian. Belum debat dah fitnah,” katanya lagi.

Isu Tabung Haji

Ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kerajaan telah mengalihkan aset tidak untung kepada syarikat tujuan khas (SPV).

Abdul Azeez ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam berkata, aset TH meningkat sebanyak RM26.5 bilion sepanjang tempoh beliau menerajui institusi kewangan itu pada Julai 2013 hingga Mei 2018.

Beliau turut menjelaskan sehingga kini dirinya tidak pernah mempunyai sebarang tuduhan di mahkamah membabitkan kes TH.

Selain itu, beliau turut menyoal tindakan pentadbiran Pakatan Harapan yang gagal membentangkan laporan tahunan TH pada tahun 2018 dan 2019 sambil menunjukkan laporan kewangan TH 2013 hingga 2016 semasa institusi itu berada di bawah pentadbiran beliau.

Jelasnya, keperluan dan kewajipan menyediakan laporan tahunan penyata kewangan ini telah termaktub dalam Seksyen 5 dan 6, Akta Badan berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 (Akta 240).

Malah beliau turut mendedahkan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) syarikat yang dilantik oleh kerajaan PH untuk menstruktur semula TH hanya mempunyai modal berbayar RM1.

Menurutnya lagi semua perabot dan peralatan elektrik di empat hotel milik TH yang dipindah milik kepada UJSB dijual pada harga RM10,000 sahaja.

Beliau mendakwa, kelulusan penjualan aset TH pada harga yang sangat rendah itu telah dinyatakan oleh seorang menteri PH secara bertulis.

Diakhir perbahasan tersebut, Azeez sekali lagi mengulangi pendiriannya mengesyorkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh kerajaan bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH terdahulu sekali gus menawarkan diri menjadi individu pertama untuk disiasat dan memberikan kerjasama kepada RCI. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat