Nama Search bukan untuk sesuka hati diperdagangkan

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Bekas penyanyi kumpulan Search, Amy; pemain bass, Nasir dan waris pemain dram, Allahyarham Yazit Ahmad memberi tempoh tujuh hari terhadap individu bernama Mozylir Mokhtaruddin dan syarikat Home of Champions untuk menghentikan kegiatan serta perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan itu tanpa kebenaran.

Nasir berkata, mereka akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya syarikat berkenaan gagal berbuat demikian.

“Sekiranya gagal, kami akan mendapatkan nasihat guaman dan memulakan tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang media secara langsung menerusi Instagram Live Amy, malam tadi.

Ia turut disertai Amy dan anak lelaki Yazit, Shahmirnuri atau Boy.

Nasir berkata, Mozylir ada bertemu dengannya awal tahun ini berbincang berkenaan pengeluaran barangan Search, namun ia perlu dibawa kepada pengetahuan semua anggota Search termasuk Amy.

“Perkara-perkara terbabit bukan kecil. Ia meliputi imej, harta intelek dan sejarah Search selama 40 tahun. Mozylir kata dia akan cerita dengan Amy, jadi saya ambil pendirian yang dia akan buat seperti yang dikatakan.

“Kami hanya dapat tahu penjualan produk jenama Search menerusi kenalan dan juga media sosial,” katanya.

Nasir berkata, mereka juga akan mengemukakan surat tuntutan peguam meminta individu terbabit mendedahkan akaun-akaunnya dan perniagaan membabitkan nama Search.

Ditanya mengenai sama ada nama Search pernah dipatenkan atau tidak, Amy berkata, pendaftaran paten tiada kena-mengena dengan hak-hak anggota Search kepada nama dan jenama Search.

Namun, difahamkan nama Search sudah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan ia adalah milik lima anggotanya iaitu Amy, Nasir, Noordin, Kid dan Yazit.

Jika salah seorang daripada mereka mahu menjalankan perniagaan menggunakan nama Search, ia perlu mendapat kebenaran semua.

“Din dan Kid boleh menggunakan nama Search dengan persetujuan bersama. Saya, Nasir dan dan waris arwah Yazit tidak pernah bersetuju berhubung kegiatan perniagaan syarikat berkenaan.

“Semasa arwah Yazit sakit, kami semua sudah setuju jika apa-apa terjadi pada arwah, kami tidak akan ambil pemain dram lain untuk menggantikannya. Kami akan menggunakan pemain dram undangan jika ada tawaran persembahan” katanya.

Mereka juga bersetuju pemain dram undangan mendapat 20 peratus bayaran, manakala 80 peratus lagi akan diserahkan kepada waris keluarga Yazit.

Amy berkata, dia tidak mahu perkara berbangkit di kemudian hari apabila berlaku pertelagahan mengenai hak selepas mereka tiada.

“Jadi, saya menerangkan sekali lagi untuk kebaikan semua. Kami juga mahu melindungi hasil kerja yang sudah dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, Shahmirnuri berkata, dia hanya mahu menuntut dan melindungi hak arwah bapanya.

“Berkenaan perkara ini, saya dan keluarga tidak diberitahu apa-apa mengenai jualan menggunakan nama Search. Saya juga tidak menerima panggilan atau makluman meminta izin atau seumpamanya. Disebabkan itu, saya cuba mendapatkan nasihat guaman untuk melindungi hak arwah bapa.

“Kami bukan tidak membenarkan anggota lain menggunakan jenama Search. Kami boleh mengizinkan dengan persetujuan bersama. Bukannya tidak pernah buat, sebelum ini. Saya tidak kisah untuk projek baharu, memandangkan arwah sudah tiada, itu terpulang pada anggota lain. Apa yang dikisahkan untuk perkara yang membabitkan arwah bapa sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Amy, Nasir dan waris Yazit dalam satu kenyataan mendakwa Mozylir dan Home of Champions menggunakan nama ‘fenomenasearch’ melalui laman web www.fenomenasearch.com dan menggunakan alamat e-mel yang memakai nama domain fenomenasearch.com.

Ini termasuk penjualan pakaian dan aksesori menggunakan nama Search atau imej yang berkaitan dengan Search melalui laman web itu, Facebook, Instagram dan Shopee selain menjual kasut Aliph x Search – Edisi 2021 atas dasar penjualan terhad kepada 999 unit.

Sementara itu, Home of Champions dalam kenyataan di Facebook berkata, pihaknya akan membuat kenyataan menerusi peguam mereka, Isnin ini.

“Barisan peguam kami sedang memperhalusi isu yang cuba dibangkitkan dan pihak kami akan mengeluarkan kenyataan penuh bagi menjawab segala persoalan.

“Pihak kami dan Search akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat ini. Tarikh dan masa akan diberitahu kelak bergantung kepada keadaan prosedur operasi standard (SOP) ketika ini,” katanya.

Mereka juga menjelaskan operasi perniagaan berjalan seperti biasa dan segala perancangan aktiviti jenama Search tidak akan terganggu oleh isu-isu yang cuba ditimbulkan.

“Kepada peminat-peminat Search dan pelanggan kami, teruskan memberi sokongan. Insya-Allah segala persoalan dan kebenaran akan terjawab selepas ini,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat