Kerajaan tanggung subsidi bahan api RM2,300 setiap saat

KUALA LUMPUR – Kerajaan kini menanggung beban fiskal yang besar apabila subsidi bahan api mencecah kira-kira RM200 juta sehari, bersamaan RM2,300 sesaat.

Perkara itu didedahkan Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein dalam temu bual khas di Agenda Awani semalam, yang menyorot tekanan kewangan negara dalam usaha mengekang kenaikan kos sara hidup dan inflasi.

Beliau berkata, angka berkenaan menggambarkan skala sebenar perbelanjaan kerajaan bagi melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga minyak global.

“Setiap saat kita bakar RM2,300 untuk subsidi bahan api dan itu bersamaan kira-kira RM200 juta sehari, bebannya amat berat.

“Dari segi harga dan inflasi, kita banyak dilindungi dengan subsidi minyak, khususnya diesel, tetapi ia bukan sesuatu yang mampan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Menurutnya, kerajaan kini sedang meneliti langkah penjimatan perbelanjaan yang dijangka diumumkan dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang.

Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat dan sektor perniagaan supaya mengamalkan penggunaan tenaga secara lebih berhemat bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap kedudukan fiskal negara.

Katanya, usaha penjimatan di peringkat individu dan industri mampu memberi impak besar dalam mengawal perbelanjaan subsidi secara keseluruhan.

Mengulas tahap kesiapsiagaan negara, Nurhisham mengakui Malaysia masih belum bersedia sepenuhnya untuk menghadapi krisis bekalan atau geopolitik yang berpanjangan.

“Kalau saya nak katakan kita bersedia sepenuhnya, saya kata tidak. Ada beberapa sektor dan industri yang memang tidak dapat kita lindungi sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, kenaikan harga bahan api di pasaran antarabangsa dipengaruhi pelbagai faktor termasuk kos minyak mentah, insurans, logistik dan pemprosesan, selain gangguan rantaian bekalan global serta laluan perkapalan utama.

“Keutamaan kerajaan kini tertumpu kepada tiga aspek utama iaitu mengawal kenaikan kos, menjamin bekalan asas serta melindungi industri tempatan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat