Isu kartel beras tak boleh tuduh sembarangan – Mohamad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Tuduhan berhubung isu kartel dalam industri beras negara tidak boleh dibuat secara sembarangan sebaliknya ia perlu melihat kepada keseluruhan rantaian sektor berkenaan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Bahagian Pengawalan Padi dan Beras sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menyiasat isu kartel yang didakwa menekan nasib pesawah.

Bagaimanapun katanya, MyCC memerlukan sedikit masa bagi memahami dan mempelajari tentang keseluruhan rantaian dalam industri padi dan beras negara.

“Isu kartel ini tidak boleh tuduh sembarangan kerana kena faham keseluruhan rantaian terlebih dahulu.

“Maknanya, kesimpulan awal kita tak boleh buat lagi, kita kena melihat aspek rantaian makanan dalam sektor padi dan beras sebab ini melibatkan beberapa peringkat dari benih sampai ke beras.

“Ini maknanya tak boleh kata satu peringkat itu kartel, ia perlu melihat keseluruhan rantaian terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan, Pekan di Kumpulan Pengguna Air (KPA) Permatang Durian, skim Merchong pada Isnin, lapor Utusan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat merasmikan SMART SBB. Ala Sekinchan, Pekan.

Berkenan berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

SMART SBB Ala Sekinchan merupakan model baharu yang menerapkan amalan pertanian berhasil tinggi dengan mempraktikkan pengetahuan, sikap dan amalan dilancarkan pada Mei 2023.

Program ini sudah dilaksanakan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak, Kelantan dan IADA KETARA, Terengganu.

Baru-baru ini, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman dilaporkan sebagai berkata, kartel dalam industri beras negara wujud dan sedang menipu pengguna dan kerajaan sekali gus menyaksikan kelemahan penguat kuasa yang tidak berupaya menentukan antara beras tempatan dan import.

Marzukhi dilaporkan sebagai berkata, kartel dimonopoli syarikat-syarikat besar yang mempunyai kilang- kilang padi serta pemborong sendiri di bawah penguasaan mereka wujud sejak sekian lama.

Oleh itu, menurut Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia terbabit, isu kekurangan bekalan beras berlaku apabila mereka menukar gred atau mencampur beras tempatan menjadi import sekali gus mengaut lebih keuntungan.

Sementara itu, mengulas tentang SMART SBB Ala Sekinchan, beliau berkata, ia sudah dilaksanakan di Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan dan terbaharu di negeri ini.

“Pada bulan April ini, ia akan dilancarkan di Langkawi, Kedah membabitkan luas kawasan 500 hektar, selepas itu Sabah (500 hektar) dan Sarawak (500 hektar) membabitkan kawasan baharu.

“Ia akan diperluaskan ke seluruh negara dan buat masa ini hanya Johor dan Melaka belum melaksanakannya,” katanya.

Jelasnya, beliau yakin program SMART SBB Ala Sekinchan inisiatif untuk mempertingkatkan pengeluaran padi tempatan di samping menjamin pengekalan kawasan penanaman padi negara yang saban tahun menghadapi masalah pengecilan kawasan akibat daripada penukaran status guna tanah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat