Zaid Ibrahim bimbang cara Sarawak ugut Petronas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Undang-undang Datuk Zaid Ibrahim melahirkan rasa terkejut atas ‘teguran keras’ seorang Adun Sarawak terhadap Petronas kerana didakwa tidak menghormati undang-undang negeri juga dakwaan kononnya Sarawak mungkin memutuskan hubungan dengan kerajaan Perpaduan berhubung pertikaian itu.

“Cara Adun itu bercakap sangat mengejutkan dan provokatif.

“Kita rakyat Malaysia tidak biasa dengan peras ugut. Kita lebih suka berunding,” kata Zaid memetik laporan FMT.

Sebagai respons terhadap kenyataan Adun Stakan Hamzah Brahim ketika sidang DUN Sarawak pada Khamis minggu lalu, Zaid berkata: “Saya bukan bercakap sama ada bagi pihak Petronas atau Kerajaan Perpaduan, tetapi sekadar sebagai warga Persekutuan yang baik.

“Saya percaya ada isu perundangan dan Perlembagaan yang serius perlu dipertimbangkan, dan dua belah bagi setiap hujah undang-undang.

“Untuk (tujuan) ini, sikap tenang dan hujah yang bijak mesti jadi yang terutama, bukan ancaman sia-sia.”

Zaid berkata, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg sangat lantang menyuarakan kedudukan negeri dari segi undang-undang berhubung perkara itu baru-baru ini.

“Kini tiba masanya untuk dengar (pendirian) kita”, kata beliau lagi.

Menurut Zaid, sumbangan oleh Petronas dan Kerajaan Persekutuan terhadap semua negeri Persekutuan, termasuk Sarawak, sejak 50 tahun lalu tidak patut diperkecil atau dilupakan.

“Harus diingat, kita orang Semenanjung orang baik dan mahu lihat hubungan baik dengan Sarawak berterusan,” katanya sambil menyeru semua pihak menjalankan rundingan dengan niat terbaik.

Ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2025, Hamzah dilaporkan memberi amaran kepada Kerajaan Persekutuan agar tidak membenarkan ‘rasa bangga dan ketamakan’ Petronas ‘menyumbang kepada potensi kejatuhan kerajaan Madani’.

Katanya, Petronas mengaibkan, memperkecilkan dan tidak menghormati undang-undang Sarawak dengan menangguhkan pemuktamadan perjanjian pengedaran gas yang akan menyaksikan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) diiktiraf secara rasmi sebagai agregator gas tunggal negeri.

Hamzah juga menyelar ‘pemimpin-pemimpin’, yang tidak dinamakannya, kerana menurutnya bersikap hipokrit apabila secara terbuka mengaku menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi di belakang tabir, cuba meremehkannya.

Bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974, Petronas mempunyai hak pemilikan atas semua sumber minyak dan gas di seluruh negara termasuk di Sarawak.

Bagaimanapun, kerajaan Sarawak baru-baru ini cuba memperoleh kawalan lebih besar ke atas sumber negeri melalui Petros.

Pada Julai, Sarawak mengumumkan hasrat agar Petros mengambil alih pembelian dan penjualan gas di negeri itu, dan menetapkan tempoh tiga bulan untuk Petronas menyelesaikan semua isu pengagihan dengan syarikat minyak milik kerajaan negeri itu.

Pada 31 Okt, Abang Johari berkata persetujuan telah dicapai dengan Petronas pada dasarnya membenarkan Petros bertindak sebagai agregator gas tunggal untuk Sarawak.

Bagaimanapun, Petronas mempertikaikan kenyataan itu dengan berkata bahawa perbincangan masih berlangsung.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat