KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tiada rancangan untuk menghentikan pembiayaan bagi kursus universiti yang merekodkan kadar pembayaran balik yang rendah dalam kalangan pelajarnya.
Demikian pemakluman Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim.
Pada 14 Nov lalu, CEO PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dilaporkan berkata perbadanan itu mempertimbangkan untuk menghentikan pembiayaan untuk kursus universiti yang mempunyai kadar pembayaran balik di bawah 30 peratus.
Pun begitu Norliza berkata, cadangan Dasuki itu dibuat dalam satu bengkel dalam talian.
“Bagaimanapun, tiada keputusan dibuat kerana kita perlu melakukan kajian lanjut di mana ia belum lagi bermula,” katanya memetik laporan FMT pada Khamis.
Norliza berkata apabila kajian itu selesai, PTPTN akan berkongsi hasilnya kepada orang ramai.
Katanya, PTPTN tidak mengumumkan sebarang rancangan untuk menghentikan pembiayaan, dan pelajar tidak perlu bimbang dengan perkara itu.
PTPTN meluluskan sejumlah RM74 bilion pinjaman setakat September lalu.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam satu jawapan bertulis di Parlimen berkata menjelang akhir tahun lalu berkata, PTPTN meluluskan 3,951,404 pinjaman membabitkan jumlah RM71 bilion.
Bagaimanapun, lebih 2.7 juta pinjaman berjumlah RM32 bilion masih belum dibayar.
Zambry juga berkata 72 peratus daripada pinjaman itu diberikan kepada pelajar Bumiputera dan 28 peratus kepada pelajar bukan Bumiputera.