Ismail Sabri akan terus berfungsi sebagai Perdana Menteri Sementara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kegagalan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan mendapat sokongan majoriti membentuk kerajaan mungkin akan menyebabkan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk terus memberi peranan Perdana Menteri dan Kerajaan Sementara kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pagi tadi Barisan Nasional sebagai parti ketiga yang menjadi penentu pembentukan kerajaan meminta masa lanjutan kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat bagi menentukan kecenderungan sokongan mereka kemana.

Walaupun sebahagian besar Ahli Parlimen Barisan Nasional dilihat menyertai perjumpaan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun sebilangan mereka memaklumkan kepada media tidak mengetahui bahawa perjumpaan tersebut akan dihadiri oleh PH.

Menurut seorang pakar Perlembagaan, Al-Sultan Abdullah boleh memberi perkenan agar Ismail Sabri terus menjadi Perdana Menteri sementara sehingga pembentukan kerajaan baharu.

“Ini kerana Perkara 43(1) memperuntukkan YDPA untuk melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam perjalanan fungsinya. Implikasi peruntukan ini, sepertimana yang diputuskan dalam Abdul Ghani Ali v PP[2002]3CLJ769, adalah satu Jemaah Menteri perlu wujud pada setiap masa, termasuk Kerajaan caretaker, tanpa mengambil kira perkembangan politik negara. Oleh yang demikian, Ismail Sabri harus kekal menyandang jawatan Perdana Menteri sementara sehingga satu Kerajaan baru ditubuhkan.”

Menurut beliau lagi, tempoh kerajaan sementara ini boleh berlarutan dalam masa yang panjang selagi tiada penyelesaian kerana Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan satu jangka masa untuk Kerajaan ditubuhkan.

“Walaubagaimanapun, Perkara 55(4) menetapkan Parlimen hendaklah dipanggil untuk bersidang tidak lewat 120 hari selepas tarikh pembubaran. Mengambil kira tarikh pembubaran Parlimen adalah pada 9 Oktober 2022, Parlimen selewat-lewatnya perlu dipanggil untuk bersidang pada 9 Februari 2023.”

Justeru kerajaan baru sebaik-baiknya perlu ditubuhkan menjelang pemanggilan persidangan Parlimen yang selewat-lewatnya perlu diadakan pada 9 Februari 2023.

Malahan Ismail Sabri mungkin akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga diputuskan oleh sidang Dewan Rakyat sekiranya semua pihak gagal mencapai kata putusa.

“Berdasarkan rangka Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri akan kekal dalam jawatannya selagi beliau adalah Ahli Dewan Rakyat (ADR) dalam Parlimen penggal baru.”

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa  berdasarkan Perkara 42(2) Perlembagaan hanya menteri penggal lepas yang masih menjadi ADR sahaja boleh kekal memangku jawatan terbabit.

Dalam keadaan ini, Ismail Sabri juga boleh memberi nasihat kepada Al-Sultan Abdullah mengenai siapa sepatutnya dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

“Secara konvensyen berdasarkan sistem demokrasi berparlimen Westminster, YDPA tidak akan diseret ke dalam kemelut politik. Ia adalah tanggungjawab penyandang Perdana Menteri, untuk menasihati YDPA. Ketua Setiausaha Negara dan SUSK YDPA akan memainkan peranan pengantara di antara parti politik terlibat dalam pelantikan Perdana Menteri.”

Pakar Perlembagaan tersebut juga memaklumkan Al-Sultan Abdullah boleh mengisytiharkan darurat sekiranya keadaan ini berpanjangan.

“Sekiranya satu Kerajaan gabungan ataupun Kerajaan minoriti masih tidak dapat ditubuhkan ekoran kebuntuan politik, Perdana Menteri sementara meminta Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk mengeluarkan satu proklamasi darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan setelah YDPA berpuas hati satu darurat besar sedang berlaku yang melibatkan kehidupan ekonomi.”

“Perkara ini pernah berlaku sebelum ini dan dikuatkan lagi dengan keputusan kes-kes di Mahkamah Persekutuan.”

Susulan daripada rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969 ini, satu perisytiharan Darurat telah dibuat oleh YDPA. Seterusnya, satu ordinan bertajuk Ordinan No. 2 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat, 1969, melalui Warta Kerajaan Persekutuan, 17 Mei 1969, P.U. (A) 149 dibuat, yang memperuntukkan perwakilan kuasa pemerintah bagi Malaysia kepada seorang Pengarah Gerakan yang dibantu oleh suatu majlis yang akan dinamakan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Seksyen 2(2) Ordinan No. 2 (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat, 1969 ini memperuntukkan bahawa ‘Pengarah Gerakan…hendaklah bertindak dengan mengikut nasihat Perdana Menteri…’

MAGERAN berfungsi sebagai Kerajaan sementara (caretaker) dan berusaha untuk memulihkan kedaulatan undang-undang dan membawa negara ke arah perdamaian nasional.

Perdana Menteri sementara ketika itu Tunku Abdul Rahman memilih untuk tidak memegang jawatan dalam MAGERAN dan melantik timbalannya, Abdul Razak Hussein, sebagai pengarahnya. Memandangkan belum ada Jemaah Menteri yang dilantik, beberapa ahli Jemaah Menteri Tunku sebelum ini dilantik untuk berada dalam MAGERAN.

MAGERAN adalah sama seperti Jemaah Menteri dengan ahli majlis itu bertugas mengikut portfolio mereka. MAGERAN dibubarkan pada 1971, dua (2) tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-3.

Kedua, di dalam kes Stephen Kalong Ningkan v Government of Malaysia (1968) 1 MLJ 121, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa YDPA boleh mengisytiharkan darurat apabila YDPA berpuas hati untuk berbuat demikian bagi memastikan keadaan negara stabil dan aman. Hakim Majlis Privy di England, Lord MacDermott memutuskan:
“…perkataan darurat seperti yang dipakai didalam perkara150(1) tidak boleh dibataskan kepada menggunakan kekerasan ataupun ancaman kekerasan di luar undang-undang dalam sebarang gejalanya… makna asas perkataan itu boleh meliputi keadaan suasana dan peristiwa yang luas, termasuklah pelbagai rupa kejadian  seperti perang, kemarau buruk, gempa bumi, banjir, wabak penyakit dan jatuhnya kerajaan awam…”

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat