KUALA LUMPUR – Pemuda Umno telah menganjurkan satu himpunan aman di Masjid Wilayah Persekutuan menuntut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipulangkan kepada keluarganya dan juga rakyat Malaysia.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh juga menyatakan setakat ini lebih sejuta tandatangan telah berjaya dikumpul dan gerakan itu masih diteruskan sebelum petisyen
itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk ditimbang tara bagi Pengampunan Diraja kepada Najib.
“Kita sedang tunggu tarikh daripada pihak Istana Negara dan Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan petisyen. Setakat ini 1,167,239 tandatangan sudah berjaya dikumpul secara atas talian dan fizikal.
“Pulangkan Najib ini bermaksud menuntut keadilan kepada kes beliau. Kami dan Najib sendiri tidak pernah meminta perbicaraan dihentikan, sebaliknya menggesa satu perbicaraan yang adil buat Negarawan itu.
“Najib dinafikan hak untuk kemukakan rayuan, kalau orang lain boleh. Kenapa Najib tak boleh, sedangkan negara masih perlukan beliau,” kata Dr Akmal.
Ketika perhimpunan itu berlangsung di luar pekarangan masjid, beberapa anggota polis mengarahkan himpunan dihentikan kerana tiada permit, bagaimanapun selepas berunding mereka diberi beberapa minit sebelum bersurai.
Terdahulu, lebih 2,000 peserta himpunan yang memakai baju putih menunaikan Solat Hajat memohon doa agar Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong diberikan kesihatan yang baik agar boleh memayungi rakyat jelata dan boleh menjalankan tugas sebagai pemimpin negara dengan bijaksana.
Selain itu, bacaan Yassin juga turut diadakan mendoakan agar saudara Islam di Palestin diberikan dan dimudahkan segala urusan di sana dan diberikan kekuatan untuk mereka melawan Zionis Israel.