Azam Baki saran CCTV lokap guna AI, ada pusat kawalan selesaikan isu kematian, rasuah

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan lokap dimiliki agensi penguat kuasa di negara ini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) canggih bagi meningkatkan ketelusan serta integriti.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata beliau menyedari sistem CCTV yang dimiliki beberapa agensi, sudah lapuk dan kemungkinan boleh menimbulkan tohmahan serta masalah.

“CCTV yang ada sekarang CCTV yang lapuk, ya ada CCTV, saya tahu, tapi banyak isu sehingga menimbulkan banyak tohmahan seperti kematian, mungkin isu rasuah pun ada, ketidakpatuhan pun ada, (hanya disebabkan) oleh masalah teknikal.

“Jadi CCTV penting kepada saya dan saya sarankan CCTV bukan sekadar CCTV biasa, pertama ada sistem AI (kecerdasan buatan), yang kedua perlu ada pusat kawalan, janganlah CCTV tu ‘stand alone’ (tidak disambungkan ke pusat kawalan),” katanya lapor BH pada Khamis.

Dalam sesi khas bersama media di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya Azam memberitahu, satu kertas kerja yang lebih komprehensif berhubung perkara itu akan dibentangkan kepada kerajaan untuk pertimbangan lanjut.

Selain pemantauan lokap, beliau turut mencadangkan supaya siaran langsung prosiding perbicaraan kes rasuah dipertimbangkan bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap proses kehakiman.

“Antara cadangan ialah membenarkan siaran langsung perbicaraan kes rasuah supaya orang ramai dapat mengikuti prosiding terbabit kerana sekarang ini banyak isu timbul apabila ada segelintir pihak memanipulasi apa yang sebenarnya berlaku di mahkamah melalui hantaran di media sosial.

“Bagi saya, jika pembaharuan ini dipersetujui, ia satu langkah yang sangat baik, menunjukkan ketelusan daripada pihak kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata, filem bertemakan antirasuah berkemungkinan diterbitkan dengan tiga penerbit sudah menyuarakan hasrat untuk menghasilkan filem berkenaan.

“Kami sudah bertemu mereka dan memberikan beberapa contoh kes kami untuk diadaptasi, namun saya beritahu mereka, pelakon yang membintangi filem itu mesti bertaraf terbaik,” katanya.

Azam berkata, jalan cerita dan plot filem terbabit mestilah menarik serta tepat dalam menyampaikan mesej antirasuah yang ingin diketengahkan.

“Saya beritahu mereka (penerbit) bahawa mereka mesti serius (menghasilkan filem ini). Filem itu mestilah membawa mesej antirasuah yang betul,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat