KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Pandan Syed Rosli Jamalullail mengingatkan menolak suara Dr Akmal Salleh bererti menolak suara majoriti pemuda yang telah memberikan amanah kepadanya.
Tegas beliau, ingatlah, suara Dr Akmal adalah suara anak muda Umno satu Malaysia.
Justeru kata Syed Rosli, mempertikai hak Ketua Pemuda Umno bersuara sama seperti memperlekehkan tekad, maruah dan perjuangan seluruh generasi muda dalam parti ini.
“Dr Akmal bukan bersuara atas kapasiti individu semata-mata, tetapi atas mandat dan amanah yang telah diberikan oleh majoriti besar Pemuda Umno di seluruh negara.
“Kemenangan beliau sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia bukan sekadar simbol, tetapi satu tanggungjawab yang sah dan diiktiraf.
“Maka, beliau ada hak penuh untuk menegur, menasihat dan bersuara dalam apa jua isu melibatkan bangsa, agama dan negara. Isu bendera dipasang terbalik bukan isu kecil, ia menyentuh soal maruah negara.
“Oleh itu, tindakan Dr Akmal menegur adalah sejajar dengan amanah yang beliau pikul,” ujar Syed Rosli.
Andai ada pihak dalam kepimpinan Umno sendiri yang cuba menutup suara beliau, apatah lagi parti lawan yang menidakkan hak beliau, itu sebenarnya satu penghinaan terhadap seluruh Pemuda Umno Malaysia, bidas beliau.
Tegas Syed Rosli lagi, menolak suara Dr Akmal bererti menolak suara majoriti pemuda yang telah memberikan amanah kepadanya.
“Ingatlah, suara Dr. Akmal adalah suara anak muda Umno satu Malaysia.
“Mempertikai hak beliau bersuara sama seperti memperlekehkan tekad, maruah dan perjuangan seluruh generasi muda dalam parti ini,” katanya.
Dalam pada itu Syed Rosli menitipkan kata semangat kepada Exco Melaka itu agar tidak takut.
“Usah gusar dan jangan gentar,Dr Akmal Saleh. Suara jutaan rakyat Malaysia berdiri teguh di belakangmu.
“Setiap langkah perjuangan ini bukan mudah, namun ia penuh dengan keberanian dan pengorbanan demi maruah bangsa dan negara.
“Perjalanan ini masih jauh, cabaran di hadapan masih banyak, tetapi inilah jalan perjuangan yang tidak boleh kita undur. Semangat yang berkobar, tekad yang kental dan sokongan rakyat akan menjadi benteng utama.
“Hari ini kita bukan sekadar mempertahankan seorang pemimpin, tetapi mempertahankan prinsip, kebenaran dan masa depan anak bangsa.
“Bersama-sama kita tempuh gelombang ini, kerana api perjuangan tidak akan padam selagi wujud jiwa yang berani melawan!
“Bangkitlah bersama, kerana kita tidak pernah berjuang sendirian,” ujar beliau.



