KUCHING – Pelaksanaan pelbagai projek pembangunan, termasuk pembinaan jambatan, sistem pengangkutan moden dan pendidikan percuma menjadi bukti keupayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mentadbir negeri, berbanding DAP yang didakwa hanya banyak bercakap tanpa tindakan nyata.
Pandangan itu disuarakan seorang pengusaha bot, Sky, 51 di Kuching Waterfront yang menyifatkan pembangunan di bawah pentadbiran GPS lebih mudah dilihat dan dirasai rakyat menerusi pelbagai projek serta inisiatif kerajaan negeri.
Menurut Sky, pembinaan kira-kira 22 jambatan, pelaksanaan sistem Autonomous Rapid Transit (ART) dan pendidikan percuma antara perkembangan yang memperlihatkan usaha kerajaan negeri membawa perubahan kepada Sarawak.
“Kalau hendak dibandingkan GPS dengan DAP, bagi saya GPS lebih baik. GPS buat kerja, bukan sekadar bercakap,” katanya.
Lelaki asal Sibu itu turut menyifatkan pendidikan percuma sebagai antara inisiatif paling penting kerana manfaatnya dapat dirasai rakyat, khususnya dalam membuka peluang mendapatkan pendidikan.
Justeru, dia menyatakan kepuasan terhadap pentadbiran kerajaan negeri ketika ini dan berharap kesinambungan pembangunan yang dilaksanakan GPS dapat diteruskan.
Bagaimanapun, katanya berkata sektor pelancongan dan perniagaan berdepan cabaran susulan konflik di Iran serta kejadian gempa bumi kira-kira dua bulan lalu yang menjejaskan kemasukan pelancong.
Kata Sky lagi, pengurangan pelancong khususnya dari Eropah turut dipengaruhi kesukaran perjalanan melalui laluan Timur Tengah serta peningkatan harga tiket penerbangan.
Pada masa sama, kenaikan kos barangan menambah tekanan kepada pengusaha, namun mereka masih mengekalkan harga perkhidmatan bagi mengelakkan beban tambahan kepada pelanggan.
Justeru Sky berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan tambahan bagi membantu pengusaha pelancongan dan peniaga menghadapi peningkatan kos serta kemerosotan jumlah pelanggan.
Sementara itu, seorang peniaga dan penggiat kraf tangan Kanta anak Mudt, 55,
dari Balai Ringin berharap pembangunan negeri turut disusuli kemudahan perniagaan yang lebih tersusun bagi membantu usahawan tempatan mengembangkan sumber pendapatan.
Menurut Kanta, penyediaan ruang niaga dan tapak pemasaran khusus amat diperlukan supaya produk tempatan, terutama hasil kraf tangan, dapat dipasarkan dengan lebih meluas.
“Kami berharap ada ruang niaga yang lebih teratur untuk peniaga tempatan. Produk yang dihasilkan masyarakat setempat perlu diberi peluang untuk diketengahkan kepada pengunjung.
“Jika kemudahan ini disediakan, ia bukan sahaja membantu peniaga, malah boleh meningkatkan pendapatan komuniti setempat,” katanya.
Dalam pada itu, seorang anak muda
Sarawak Muhd Dzikry Mohamad Amir, 24 pekerja swasta asal Kuching pula menyifatkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) sebagai peluang penting untuk membantu generasi muda melanjutkan pengajian tanpa dibebani kos pendidikan yang tinggi.
Dzikry bagaimanapun berharap peluang menikmati kemudahan itu dapat diperluaskan supaya lebih ramai anak Sarawak mendapat manfaat.
Katanya, isu peluang pekerjaan dan kemampuan memiliki rumah juga tidak boleh diketepikan kerana kedua-duanya menjadi cabaran besar kepada golongan muda yang mahu membina kehidupan sendiri.
“Selepas mendapat pendidikan, anak muda juga perlukan peluang pekerjaan untuk membina masa depan.
“Pada masa sama, isu harga rumah perlu diberi perhatian kerana memiliki kediaman sendiri bukan perkara mudah, terutama bagi mereka yang baru memulakan kehidupan berkeluarga,” katanya kepada Suara.TV.
Pembangunan yang dinikmati rakyat bukan sekadar diukur melalui jambatan, jalan raya atau sistem pengangkutan baharu, tetapi juga melalui peluang mendapatkan pekerjaan, mengembangkan perniagaan dan memiliki kediaman sendiri.


