Pandangan Akmal tidak matang mungkin itu cara Pemuda Umno, kena tunjuk gelojoh – Amirudin harap politik senior Umno perlu lebih cermat

SEREMBAN – Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Seri Amirudin Shari menganggap pandangan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh sebagai tidak matang berhubung dakwaan kononnya Pakatan Harapan (PH) pernah menjalin kerjasama persefahaman dengan parti luar kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menteri Besar Selangor itu menegaskan, di Sabah PH bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan mengelakkan pertembungan.

“Kita di Sabah bekerjasama dengan BN. Kita juga bekerjasama dengan GRS. Kita mengelakkan pertembungan.

“PH mengelakkan pertembungan dengan BN, di semua kawasan-kawasan BN bertanding. Kita juga mengelakkan pertembungan dengan GRS. Pada masa yang sama, BN dan GRS tidak boleh reconcile. Mereka nak teruskan pertembungan walaupun kita cadangkan, (sepatutnya) janganlah kita sama-sama Kerajaan Perpaduan.

“Jadi, Akmal kena faham. Akmal cakap, kita bekerjasama dengan parti lain. Tak? Kita bekerjasama dengan GRS adalah Kerajaan Perpaduan di Sabah dan kerjasama dengan BN, saya terlibat dengan perbincangan.

“Jadi, saya tak anggap sangat matang pandangan Akmal itu. Tapi, tak apalah. Pemuda (Umno) mungkin kena tunjukkan ketidakmatangannya untuk tunjuk kegelojohannya.

“Tapi ahli politik senior kena melihat benda ini dengan lebih cermat. Kalau tidak, yang tergugat bukan masalah identiti dan nasib politik mana-mana parti sahaja. Tetapi yang tergugat adalah masa depan rakyat secara keseluruhan apabila, macam sekarang lah, 28 bulan lebih awal kita terpaksa adakan pilihan raya. Selepas ini mungkin Melaka. Melaka telah habis term,” katanya dalam Wawancara Mandat @SuaraTV sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Akmal yang juga Adun Merlimau mempersoalkan tindakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kamil Munim yang hanya menyasarkan BN bagi kerjasama persefahaman dengan partli luar kerajaan pada PRN Negeri Sembilan.

Menurut Akmal, persefahaman itu tidak seharusnya dijadikan isu kerana formula di PRN Negeri Sembilan pernah juga dilaksanakan ketika di Sabah.

Hal demikian Amirudin mengingatkan tentang realiti politik masa kini yang lebih fokus kepada gabungan yang dibentuk selepas pilihan raya.

“Tapi realiti politik apa? Realiti politiknya adalah bagaimana gabungan dibentuk selepas pilihan raya.

“Saya melihat mungkin ini cabaran yang baru yang boleh dibuat dan sebagaimana kasarnya BN menyerang Datuk Seri Hajiji Noor di Sabah. Akhirnya mereka akur dan membentuk gabungan bersama dengan GRS di Sabah.

“Cuma bila sedar tentang adanya penggabungan yang perlu dibuat di masa depan. Apa yang perlu dibuat ialah suhu serangan itu kena berpada-pada. Jangan menuju kepada serangan peribadi, (lebih baik) menuju kepada serangan polisi, menawarkan apa yang lebih baik. Dan masing-masing berhak untuk menawarkan kerana itulah realiti politik baru dan mungkin itu akan lebih berkesan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat