SEREMBAN – Seluruh jentera Pakatan Harapan (PH) diseru untuk mengambil iktibar daripada pengalaman di Johor.
Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata, di Negeri Sembilan, kita mempunyai jaringan organisasi dan jentera yang lebih tersusun.
“Saya berharap seluruh jentera PH mengambil iktibar daripada pengalaman di Johor. Di Negeri Sembilan, kita mempunyai jaringan organisasi dan jentera yang lebih tersusun.
“Justeru, kita perlu memanfaatkan segala kekuatan itu untuk meyakinkan rakyat bahawa PH mampu meneruskan kesinambungan pentadbiran yang telah dirancang sejak tahun 2018.
“Kekuatan PH ialah budaya menyelesaikan setiap perbezaan melalui meja rundingan.
“Jika terdapat isu atau perbezaan pandangan, kita membincangkannya secara terbuka dan jujur.
“Itulah yang menjadi kekuatan gabungan ini sejak awal penubuhannya,” katanya ketika Wawancara Mandat @SuaraTV sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Amirudin yang juga Naib Presiden PKR menegaskan bahawa PH tidak mengkhianati rakan politik sendiri.
“Sebaliknya, kita memilih untuk menyelesaikan perbezaan secara matang demi kepentingan rakyat.
“Kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan, saya berharap mereka memberikan sokongan kepada Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pakatan Harapan.
“Apa yang telah dibina sejak tahun 2018 telah menunjukkan hasil melalui pelbagai pencapaian yang boleh dinilai oleh rakyat sendiri.
“Pilihan raya kali ini bukan sekadar memilih sebuah kerajaan, tetapi menentukan sama ada Negeri Sembilan dapat meneruskan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan.
“Biarlah rakyat membuat keputusan melalui proses demokrasi. Itulah jalan terbaik untuk menentukan masa depan Negeri Sembilan,” katanya.



