Tiga Lokaliti Di Pahang, Satu Di Sabah Dikenakan PKPD Bermula Jumaat Ini – TPM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan ke atas tiga lokaliti di Pahang dan satu di Sabah selama dua minggu bermula Jumaat ini, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata di Pahang ia melibatkan Felda Jengka 12, Jerantut; Kampung Belangkap, Rompin; dan Kampung Orang Asli Ruai, Batu Talam, Raub, manakala di Sabah di Taman Merpati, Sandakan.

Katanya keputusan berkenaan diambil Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

“SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata PKPD di dua lokaliti di Sabah iaitu di Kampung Istimewa, Batu Sapi, Sandakan dan Kondominium One Borneo, Kota Kinabalu yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 5 Ogos ini.

Beliau berkata kerajaan turut bersetuju menamatkan PKPD di tujuh lokaliti seperti dijadualkan esok, iaitu di seluruh daerah Seremban; kuarters pekerja Malaysia-China Industrial Park, Gebeng, Pahang dan dua taman perumahan di Kota Bharu, Kelantan iaitu Taman Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf.

Selain itu Kampung Sungai Imam, Tawau, Sabah; dua perkampungan di Putatan, Sabah iaitu Kampung Lembising dan Kampung Dumpil Keramat; Kampung Balibata, Beaufort, Sabah dan Kampung Pintasan, Kota Belud, Sabah.

Sementara itu, beliau berkata semalam, 25 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam pemeriksaan serta “snap check” atau pemeriksaan mengejut dilaksanakan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan.

Pada hari sama, katanya seramai 420 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dimana 332 daripadanya dikompaun, 82 direman dan enam dijamin, manakala menerusi Op Benteng seramai 15 pendatang tanpa izin ditahan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat