KUALA LUMPUR – Penyanyi rap, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli tetap akan bersiaran secara langsung melalui akaun Instagram (IG) jam 10 malam ini waktu Malaysia.
Melalui InstaStory di akaun Instagram rasminya, Caprice mengakui telah melakukan kesilapan dengan mengikut emosi dan akan cuba menjernihkan keadaan menerusi IG Live malam ini.
Menurutnya lagi, semoga dengan kenyataan dalam sesi ‘live’ nanti dapat membuka semula buku baru.
“Cara saya salah. Harap harap selepas IG Live malam ini, dapat tutup buku dan jalan terus ke depan. Saya bersalah sebab terlalu mengikut emosi dan marah.
“Islam ajar kita untuk minta maaf jika melakukan kesilapan dan maafkan orang.
“Jumpa anda di IG Live, malam ini,” katanya.
Sebelum ini, Caprice mencetuskan kontroversi dengan mendedahkan teguran terhadap pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew atas dakwaan menerima rungutan penduduk Gaza mengenai cara Ebit Lew menghulurkan bantuan termasuk perkongsian gambar kanak-kanak miskin dalam media sosial.
Caprice juga mendakwa rancangannya memasuki wilayah Gaza terhalang akibat campur tangan luar.
Caprice berangkat ke Mesir menyertai misi kemanusiaan menerusi Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) bersama Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.