Dian terus cari ‘tapak’

- Advertisement -

SELEPAS percubaan pertama menerusi single Aku Wanita pada Ogos 2020 tidak berjaya, penyanyi baharu Dian Hashim, 23, nyata tidak berputus asa untuk terus mencuba.

Apatah lagi, Dian yang bakat nyanyiannya dikesan selepas menyertai program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVM) musim pertama di TV3 pada 2018, kini bernaung sebagai penyanyi di bawah KRU Music.

Tampil dengan single kedua bejudul Petanda yang lebih ‘catchy’ alunan muziknya baru-baru ini, Dian atau nama sebenarnya Nordiana Shalieza Che Hashim berkata, dia kini meletakkan harapan baharu yang lebih segar.

“Saya berharap Petanda akan mendapat sambutan baik pendengar muzik tempatan. Sejujurnya, saya sudah membuat yang terbaik untuk lagu ini. Bagi saya, karya Petanda sangat menarik untuk didengar.

“Saya mengetengahkan muzik pop untuk lagu ini, meskipun ada merakamkannya dalam irama jazz juga. Apa pun, kedua-dua genre ini ada tarikan tersendiri. Cuma sesuai dengan pasaran, genre pop dilancarkan dahulu,” katanya.

Ditanya pandangannya mengenai jazz, Dian yang berkelulusan Diploma Seni Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, penggemar muzik jazz di tanah air hanya pada kalangan kelompok tertentu.

“Sebenarnya saya sendiri sangat meminati jazz. Namun, buat masa sekarang saya fikir lebih baik mencuba pop sehingga dapat memahat nama dan bakat dalam industri. Apatah lagi, saya dapati penggemar muzik kita menjurus kepada pop.

 

LETAK harapan baharu lebih segar dengan pertaruhkan single Petanda.

 

“Bagi saya juga, tidak perlu tergesa-gesa membuat keputusan memilih muzik jazz untuk diketengahkan sekarang kerana perlu sedia mencuba pelbagai genre. Ditambah, pembabitan saya pun masih baharu dalam karier nyanyian,” katanya.

Mengulas juga penerimaan keluarganya, Dian berkata, dia bersyukur mendapat sokongan padu daripada ibu bapa. Katanya, dia mahu membuat yang terbaik dalam kerjaya seni sehingga berjaya.

“Saya memang minat menyanyi dan dengan peluang diperoleh ini, saya tidak mahu main-main. Saya serius dalam kerjaya nyanyian dan harap mendapat lebih peluang serta sokongan daripada semua orang.

“Apa pun, saya juga berterima kasih dengan KRU Music kerana yakin terhadap bakat saya. Bahkan, kami mudah berbincang dalam memastikan mendapat keputusan tepat untuk memacu karier nyanyian ini,” katanya.

Mengulas juga soal gosip, Dian berkata, dia akur dengan kemunculan kisah sensasi atau kontroversi yang sebahagian lumrah sebagai anak seni. Katanya, dia pun sudah sedia menghadapinya.

“Saya bersedia saja berhadapan dengan gosip atau cerita sensasi kerana lumrah hidup artis. Namun, pada masa sama saya akan lebih berhati-hati dan kalau boleh tak mahu terpalit dengan kisah berbaur sensasi.

“Macam saya kata, pembabitan dalam karier seni pun masih baharu dan mencari tapak. Saya mahu dikenali dengan bakat, berbanding kisah peribadi. Harapan saya, semoga diterima baik dalam karier ini,” katanya lagi.

Ketika ditemui baru-baru ini juga, Dian yang ditanya mengenai percintaan berkata, dia sebenarnya serik bercinta kerana trauma akibat pernah menjadi mangsa gangguan seksual daripada bekas kekasihnya pada Januari lalu sebelum mereka akhirnya putus hubungan.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat