Permusuhan kaum, agama perlu dinoktahkan untuk bina negara maju- Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Permusuhan kaum dan agama bukan sahaja perlu dihindari tetapi dinoktahkan bagi memperkukuhkan hubungan sesama rakyat seterusnya membina sebuah negara maju, kata Perdana Menteri.

Justeru Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, untuk mencapai matlamat itu, semua pihak perlu mengubah minda dan membebaskan diri masing-masing daripada permusuhan kaum dan agama yang menjejaskan perpaduan sesama rakyat.

“Tidak kira di mana rakyat Malaysia berada, permusuhan kaum dan agama perlu dihindari mahupun dinoktahkan bagi memperkukuh hubungan kita semua dalam membina sebuah negara maju,” ujar beliau dalam kenyataan semalam.

Anwar berkata demikian semasa bertemu diaspora Malaysia di Tokyo, Jepun dalam sesi santai minum petang kelmarin.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja ke Jepun bermula 16 hingga 18 Disember lalu untuk menyertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun.

Dalam lawatan itu, Anwar turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau dari Jepun, Fumio Kishida.

Pada masa sama, Anwar berkata, lawatan kerja ke Jepun menarik potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion sekali gus disifatkan berjaya dan membanggakan.

“Saya tekankan pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk rakan sejawatan Fumio Kishida jelas menunjukkan bahawa hubungan Malaysia-Jepun kini menyaksikan anjakan baharu dari segi kerjasama pelaburan, perdagangan, pendidikan dan teknologi,” katanya.

Sabtu lalu, Perdana Menteri menyertai pertemuan bersemuka dengan ahli perniagaan dan kapten industri di Tokyo, termasuk wakil Rohm Wako yang merupakan pelabur terbesar sektor semikonduktor di Kelantan dengan kilang di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Untuk rekod, ini merupakan lawatan rasmi sulung Perdana Menteri ke Jepun sejak memegang jawatan itu pada 24 November 2022.

Sementara itu, ketika diwawancara akhbar Jepun, Perdana Menteri menekankan Dasar Pandang ke Timur Malaysia kini turut belajar model pembangunan ekonomi dari China.

Menurut beliau, sebelum ini, dasar tersebut hanya menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh untuk membangunkan ekonomi negara.

“Malaysia perlu terbuka untuk menyemak semula sebarang dasar yang telah dilaksanakan selama 40 tahun.

“Saya tidak akan kata ‘Timur’ (dalam dasar itu) bermaksud Jepun dan Korea Selatan tanpa China. Sekarang, apabila kita menyebut ‘Pandang ke Timur’ ia adalah Timur (termasuk China),” kata beliau ketika di wawancara oleh wartawan Asahi Shimbun.

Dasar Pandang Ke Timur diperkenal Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1982 bertujuan mempelajari strategi pemodenan ekonomi, terutama dari Jepun dan Korea Selatan.

Anwar berkata, Malaysia terarah meniru pembangunan ekonomi China kerana republik itu melabur lebih banyak di Malaysia.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, Malaysia tetap tegas berunding dengan China berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan tidak membenarkan sebarang tindakan sepihak oleh Beijing, lapor Utusan.

Malaysia menyokong dasar luar yang teguh dan bebas dan beliau berkata, negara akan berurusan dengan China bergantung kepada kepentingan Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat