PM berjaya halang Sanusi ulang kenyataan fitnah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dihalang daripada mengeluarkan, mengulangi dan menerbitkan kenyataan yang memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam media sosial, laman web dan mana-mana platform lain sehingga pelupusan kes saman Perdana Menteri terhadapnya.

Injunksi itu adalah berkaitan kes saman fitnah yang yang difailkan Anwar terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berhubung ucapan berbaur fitnah dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’, tahun lalu.

Perkara itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam ketika membenarkan permohonan Anwar untuk mendapat perintah injunksi inter-parte (kedua-dua pihak) terhadap Sanusi, lapor Utusan.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahazan Mat Taib selepas mendengar penghujahan peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Perdana Menteri dan Yusfarizal Yussoff pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian pada 16 Oktober lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Februari tahun depan bagi pengurusan kes dan maklum balas berhubung pemfailan dokumen sebelum perbicaraan.

Dalam tuntutan samannya, Anwar mendakwa, ucapan dalam ceramah itu diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama ‘Faizal Azumu’ yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

Sementara itu, Nair memberitahu pihak media, meskipun kes saman itu masih menunggu pendengaran, Sanusi telah mengulangi kenyataan fitnah serupa berkaitan perbicaraan kes jenayah membabitkan Anwar.

Kenyataan itu dibuat dua ceramah iaitu Jelajah PN Best Negeri Sembilan pada 18 Mac lalu di Nilai, Negeri Sembilan dan Jelajah Selangor Baharu-Selayang pada 11 Julai di Selayang dekat sini.

Pada 13 Disember 2022, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyaman Muhammad Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’ pada November.

Anwar, 75, selaku plaintif mendakwa, kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Sementara Sanusi dalam pernyataan pembelaannya menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa niat jahat dan memfitnah Anwar, sebaliknya mengkritik ahli Parlimen Tambun itu bagi tujuan kempen Pilihan Raya Umum ke-15.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat