KUALA LUMPUR – Seorang wakil rakyat kerajaan mencadangkan sistem federalisme direformasi dengan memberikan lebih kuasa kepada kerajaan negeri.
Adun Rengit merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi berkata, sudah sampainya kuasa kerajaan negeri diperkasa dalam hal mengurus kewangan, hasil cukai dan peruntukan pembangunan.
Puad mengemukakan saran demikian sebagai maklum balas kepada rayuan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) supaya Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melibatkan Ahli-ahli Parlimen dari Sabah dalam semua program-program pembangunan yang melibatkan negeri di Bawah Bayu.
“Sampai masanya sistem federalsime kena reform.
“Beri empowerment yang lebih banyak kepada kerajaan negeri dalam mengurus kewangan, hasil cukai dan peruntukan pembangunan,” kata Puad.
Sebelum itu, Isnaraissah Munirah melahirkan rasa kecewa susulan terlalu banyak peruntukan yang diberikan kepada Sabah tidak dibelanjakan secara keseluruhan.
Justeru kata Puad, kekecewaan Ahli Parllimen Kota Belud kerana pembangunan Sabah tercorot amat wajar.
“Dia memang patut rasa geram. Tetapi kena cermin diri sendiri.
“Sebab itu keputusan Sarawak beli MasWing juga amat wajar. Kita mahu tengok apakah MasWing bertambah maju, bertambah untung dan mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik berbanding di bawah MAS,” ujar Puad.
Menurut beliau, pada zaman Datuk Seri Najib Razak fokus diberi kepada Sabah dan Sarawak.
“Malangnya apa yang Najib buat banyak dibatal atau ditangguh oleh PH 1.0 dan Warisan. Contohnya Pan-Borneo Highway, loji penjanaan kuasa Sandakan 300MW, projek Trans-Sabah Gas Pipeline dan Empangan Hidro Kaiduan.
“Pada tahun 2017 Sabah catat kadar pertumbuhan 8.2 peratus berbanding 5.9 peratus bagi Malaysia,” katanya.
Isnaraissah Munirah baru-baru ini meluahkan kekecewaannya apabila Sabah terus tercicir daripada pembangunan negara.
Beliau berkata, berdasarkan kepada data yang dibekalkan kerajaan dia mendapati semua daerah di Sabah berada di kedudukan tercorot berbanding tempat lain.
Malah, beliau menuntut kementerian berkenaan memberikan jawapan, adakah berlaku birokrasi dalam perkara tersebut sehingga menyebabkan isu berkenaan timbul.
“Sebenarnya apa yang berlaku ni Yang Berhormat…saya mahu tahu, apa fungsi yang kita tubuhkan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri bukan sahaja projek pembangunan yang dilaksanakan di Persekutuan lewat, malah di negeri juga lewat.
“Jadi, kita mahu tahu, apa punca, birokrasikah, lambat hantar dokumenkah, saya mahu tahu. Saya bukan mahu cari gaduh tapi, kita mahu cari jalan penyelesaian untuk kita sama-sama menyelesaikan hal ini,” katanya ketika bertanyakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat pada 18 Nov lalu.
Mendengarkan pertanyaan itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkata, antara perkara yang dikenalpasti hingga menyebabkan isu berkenaan timbul adalah isu penyambungan dan pengalihan utiliti.
Katanya, kerajaan negeri Sabah telahpun mewujudkan pasukan petugas pengalihan utiliti yang melibatkan syarikat utiliti negeri bersana pemilik projek dan agensi pelaksana bagi memastikan segaka projek yang dirancang dapat dijalankan dengan lancar.
Dalam pada itu, Zaliha berkata, terlalu banyak projek yang hendak dilaksanakan di Sabah iaitu 1,144 yang mana ia adalah tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain.
Jelas beliau, ia juga menjadi penyumbang kepada kelewatan kerana kapasiti untuk pelaksanaan itu agak rendah.
“Saya bersetuju untuk ahli-ahli Parlimen dilibatkan dalam proses-proses projek pembangunan ini. Sepertimana yang kita ambil tindakan ini di Wilayah Persekutuan sendiri yang mana ahli Parlimen turut dilibatkan, sekurang-kurangnya ada dua peringkat.
“Yang pertama boleh bertemu dengan Datuk Bandar dalam satu pertemuan majlis konsultasi, kalau tidak tiga bulan sekali bertemu saya dalm Majlis Menteri Wilayah di mana mereka juga boleh menyuarakan masalah-masalah mereka secara terus dengan saya,” katanya.