KUALA LUMPUR — Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mendesak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi penjelasan berhubung lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan kerajaan Taliban baru baru ini.
Lim mempersoalkan mengapa Kementerian Pendidikan membenarkan lawatan tersebut diadakan sedangkan umum mengetahui Afghanistan adalah satu-satunya negara di dunia yang melarang golongan wanita belajar di peringkat sekolah menengah dan universiti.
“Saya ingin bertanyakan mengapa Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan lawatan sedemikian dari sebuah negara yang tidak ada hubungan diplomatik dengan Malaysia?
“Lebih penting lagi ialah sebuah negara yang menyekat golongan wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti, Afghanistan adalah satu-satunya negara di dunia yang melarang golongan wanita belajar di peringkat sekolah menengah dan universiti.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam Afghanistan pimpinan Taliban bahawa tindakan sedemikian adalah sama seperti apartheid jantina. Jadi, saya mengharapkan satu penjelasan boleh diberikan kepada rakyat negara ini kerana kita amat prihatin,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Apabila ditanya pemberita adakah pihaknya tidak diberitahu mengenai lawatan itu, beliau menjelaskan hanya mengetahui melalui laporan yang diterbitkan sebuah portal dalam talian, baru-baru ini.
Terdahulu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan kementeriannya menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban awal bulan ini.
Beliau berkata, lawatan itu sudah berakhir dan kementeriannya berkongsi pandangan mereka mengenai pendidikan.
Menurutnya, delegasi itu turut menyertai beberapa siri perbincangan mengenai pendidikan semasa mereka berada di sini.
Dalam lawatan seminggu bermula pada 4 Nov, delegasi melawat beberapa sekolah dan institusi pendidikan.
Untuk rekod, Pentadbiran Taliban telah mengenakan sekatan ke atas wanita yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai ‘aparteid jantina’.
Afghanistan adalah satu-satunya negara di dunia yang tidak membenarkan golongan wanita belajar di sekolah menengah dan universiti.