Oleh Zihan Zari
JAKARTA – Industri nanas Malaysia melakarkan kejayaan di pentas antarabangsa apabila syarikat tempatan, Ananas Premium Sdn. Bhd, berjaya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai USD1.5 juta di pameran antarabangsa Salon International de l’Alimentation (SIAL-InterFOOD) Indonesia 2024.
MoU tersebut dimeterai bersama dua syarikat berpangkalan di Indonesia iaitu PT Sehat Cerah Indonesia dan PT Havestor Indonesia Maju bagi pengeksportan jus nanas dan nanas premium jenis MD2 ke pasaran tempatan dan serantau.
Majlis menandatangani MoU itu telah disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Sheikh Umar Bagharib Ali, dan Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M Salleh, dekat sini pada 15 November lalu.
Sheikh Umar dalam kenyataannya memaklumkan, penyertaan di SIAL-InterFOOD bukan sahaja menonjolkan kualiti produk nanas Malaysia malah memperkenalkan teknologi terkini dan inovasi dalam pemprosesan nanas kepada pengunjung antarabangsa.
Menurutnya, kejayaan ini adalah kesinambungan momentum daripada kejayaan sebelumnya di SIAL Perancis, sekaligus menonjolkan nanas Malaysia di persada dunia.
“Kejayaan ini juga membuka lembaran baharu buat industri nanas Malaysia, khususnya dalam meningkatkan eksport produk-produk berasaskan nanas.
“Ia juga menjadi bukti kepada hubungan perdagangan yang semakin kukuh antara Malaysia dan Indonesia, ”katanya.
“Malaysia kekal komited dalam memperluas pasaran nanas premium seperti MD2 serta pelbagai produk hiliran nanas ke peringkat antarabangsa.
“Kejayaan ini sejajar dengan slogan ‘Nanas Power! Sekali Tanam, 3 Kali Tuai’ yang mencerminkan keberkesanan teknologi dan produktiviti sektor pertanian Malaysia,”katanya lagi.
“Turut diperkenalkan pada sesi ini adalah jus nanas dan minuman bertenaga nanas dan reruai LPNM telah mendapat perhatian dan kunjungan daripada pengunjung pelbagai negara.
“Sepanjang tempoh bermula 13 sehingga 16 November lalu produk berasaskan nanas Malaysia mendapat perhatian yang baik dan beberapa perbincangan awal berkenaan potensi dan peluang pasaran eksport produk negara telah berlangsung, ”ujarnya lagi.-SUARA.TV