ALASKA: Amaran tsunami dikeluarkan pada Isnin selepas gempa awal 7.5 magnitud melanda Sand Point, Alaska.
Amaran itu dikeluarkan untuk Semenanjung Alaska dan Alaska Selatan, menurut Pusat Amaran Tsunami Nasional di Palmer, Alaska.
“Kami masih menunggu jika terdapat sebarang gelombang yang mungkin dihasilkan,” kata Scott Langley dari Pusat Amaran Tsunami Nasional.
Langley bagaimanapun berkata kawasan terjejas dengan gempa itu “agak jauh” namun pihaknya perlu berjaga-jaga serta menyiasat sama ada terdapat tanda-tanda tsunami berlaku, katanya.
“Untuk pantai Pasifik Amerika Syarikat (AS) dan pantai Kanada di Amerika Utara, tahap bahaya tsunami juga sedang dinilai.
“Maklumat lebih lanjut akan diberikan dalam pemakluman tambahan,” kata agensi itu.
Jelasnya lagi, pusat gempa tersebut dicatatkan kurang 60 batu dari Sand Point, berhampiran Semenanjung Aleut di bahagian barat daya negeri berkenaan.
“Kami memang merasakannya. Ia agak kuat,” kata pegawai Klinik Sand Point, Lorna Osterback.
Osterback berkata bahawa penduduk bandar akan diarah untuk ke kawasan yang lebih tinggi dan jauh dari pantai susulan gempa besar itu selain menunggu makluman lanjut dikeluarkan.
“Kami menjangkakan akan ada satu lagi (gempa) dalam kira-kira setengah jam akan datang kerana kami betul-betul berada di atas garisan gempa.
“Bagaimanapun, saya dibesarkan di sini dan perkara seperti ini adalah normal,” kata Osterback.
Sehingga kini, terdapat beberapa gempa susulan, termasuk satu dengan kekuatan 5.9 dan satu yang 5.8, melanda dalam tempoh satu jam selepas gempa besar itu melanda – Astro Awani