Penggiat seni harap nasib dibela dalam RMK-12, Belanjawan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seluruh warga penggiat seni kini tertumpu kepada dua acara penting iaitu pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen pada 27 September, disusuli Belanjawan 2022 yang bakal dibentang oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober ini.

Dan, pastinya wujud harapan besar dalam kalangan penggiat seni terhadap langkah komprehensif diambil kerajaan demi memastikan ekonomi negara berada di landasan menuju ke arah pemulihan selepas terkesan dengan pandemik COVID-19 yang menyerang hampir dua tahun lalu.

Mengulas jangkaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terhadap dua pembentangan besar itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri optimis, inisiatif yang bakal diambil kerajaan berdasarkan usaha dilakukan bagi membantu pemain industri kreatif.

“Jika ikutkan, pelan RMK-12 dirangka untuk jangka masa lima tahun, bermula tahun ini. Segala perancangan disusun dan peruntukkan disediakan untuk pemain industri kreatif cukup kemas serta memadai.

“FINAS tidak ada keraguan kerana percaya segala perancangan dibuat dalam tempoh lima tahun akan datang berjalan dengan lancar.

“Cuma harapan kami, kerajaan terus kekal dengan perancangan yang sudah disusun dalam RMK-12. Ini kerana apa yang terkandung dalam pelan jangka panjang seperti pemberian pelbagai geran termasuk dana industri kreatif, latihan dan sebagainya memberi banyak manfaat kepada penggiat seni,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, kata Ahmad Idham, FINAS amat mengalu-alukan jika terdapat usaha menambah peruntukan seperti mewujudkan dana baharu.

“FINAS menyambutnya dengan tangan terbuka jika ada penambahan dana seiring dengan aspirasi Menteri Komunikasi dan Multimedia baharu, Tan Sri Annuar Musa.

“Ini kerana kami tidak tahu apa yang difikirkan menteri. Mungkin menteri mempunyai aspirasi tersendiri yang menyebabkannya perlu mewujudkan dana baharu selari dengan misinya. Jadi, kita terima sahaja.

“Namun, jika mahu bercakap mengenai kestabilan industri kreatif untuk RMK-12, kita memang berada pada landasan yang betul,” jelas Ahmad Idham.

 

Amir berharap Belanjawan 2022 menyaksikan ada ainisiatif kerajaan mewujudkan program inkubasi yang mampu menghasilkan animasi hebat dengan menggunakan teknologi canggih.
Amir berharap Belanjawan 2022 menyaksikan ada ainisiatif kerajaan mewujudkan program inkubasi yang mampu menghasilkan animasi hebat dengan menggunakan teknologi canggih.

 

Bagi Persatuan Animasi Malaysia (ANIMASI), kerajaan perlu menyediakan peruntukkan terutama kepada stesen televisyen (TV) membeli lebih banyak program animasi tempatan.

Presiden ANIMASI, Amir Hamzah berkata, inisiatif itu perlu dilakukan demi memastikan industri animasi akan terus berkembang, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Perkara ini berkaitan dengan ekosistem dalam bidang animasi. Kami berharap stesen TV terutama milik kerajaan dapat membeli lebih banyak kandungan animasi tempatan demi survival.

“Jika ada permintaan tinggi terhadap animasi tempatan, secara tidak langsung syarikat produksi dapat kembali bernafas, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan animasi.

“Justeru, kami berharap kerajaan dapat memberi peruntukkan tambahan kepada stesen TV dalam usaha membangunkan bidang animasi menjadi industri gah tercapai,” katanya.

Selain itu, Amir berharap, Belanjawan 2022 bakal menyaksikan ada inisiatif kerajaan dalam membuat pelaburan bagi mewujudkan program inkubasi yang mampu menghasilkan animasi hebat dengan menggunakan teknologi canggih dan terkini.

“Seperti diketahui, perkembangan teknologi dalam bidang animasi cukup laju. Jika lambat, kita akan jauh ketinggalan. Justeru, kami berharap kerajaan dapat melabur bagi mewujudkan program inkubasi yang boleh mempercepatkan pertumbuhan animasi tempatan.

“Antaranya, membeli sistem canggih untuk menghasilkan animasi iaitu teknologi tangkapan gerakan (motion capture) yang kebanyakan digunakan oleh produksi animasi antarabangsa.

“Agak mustahil syarikat animasi tempatan membeli kelengkapan ini kerana harganya agak mahal sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

“Jika kerajaan dapat menyediakan teknologi ini dengan menyewakannya kepada syarikat animasi dengan harga yang rendah, ia dapat membantu kami menghasilkan animasi dengan pantas dan setanding dengan karya dihasilkan oleh produksi luar negara,” ujar Amir.

 

Rosmin berpendapat, pembentangan dan keputusan
Rosmin berpendapat, pembentangan dan keputusan

 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim berharap, peruntukan secukupnya perlu diberikan kepada industri kreatif selepas hampir dua tahun lumpuh akibat pandemik COVID-19.

“Peruntukan ini termasuklah pembangunan industri kreatif yang menjadi salah satu tiang utama pembangunan ekonomi negara. Dalam ekonomi dunia, harta intelek mempunyai nilai yang cukup tinggi.

“Tidak terkecuali peruntukan mengembangkan pasaran untuk produk industri kreatif merangkumi muzik, filem, animasi dan permainan.

“Permainan merujuk kepada pembangunan perisian termasuk aplikasi dan permainan komputer. Contohnya, Fortnite.

“Seterusnya, RIM berharap peruntukan diberikan bagi membangunkan Kuala Lumpur sebagai Kota Muzik. Ia membabitkan pembangunan infrastruktur membabitkan premis acara langsung, pembangunan bakat tempatan, perancangan dan pelaksanaan muzik sepanjang tahun seperti festival, konsert, persidangan muzik dan sebagainya,” katanya.

Rosmin berkata, perhatian terhadap soal kebajikan penggiat industri kreatif yang hidup susah harus diberikan perhatian.

“Peruntukan menjaga kebajikan penggiat seni ketika berdepan dengan situasi sukar ketika pandemik tidak boleh diabaikan. Kita perlu ada rangkaian keselamatan sosial yang kuat untuk golongan ini.

“Pembekuan cukai kerajaan juga perlu demi membantu industri kreatif bangkit semula selepas terkesan dengan pandemik.

“RIM berharap permohonan penganjuran acara muzik termasuk konsert artis luar negara turut diberi kebenaran,” kata Rosmin.

 

Ghaz berkongsi, DCAM bakal menganjurkan Digital Festival Creative Content di bawah program MyCAP dengan kerjasama FINAS.
Ghaz berkongsi, DCAM bakal menganjurkan Digital Festival Creative Content di bawah program MyCAP dengan kerjasama FINAS.

 

Presiden Pertubuhan Kandungan Kreatif Digital Malaysia (DCAM), Ghaz Abu Bakar berharap, Belanjawan 2022 yang bakal dibentangkan dapat dimanfaatkan sebaiknya kepada komuniti.

“Pembentangan dan keputusan kerajaan dapat menjadi jaminan dalam memastikan persekitaran negara kekal berdaya saing dan kondusif.

“Ini termasuklah menerusi insentif fiskal dan bukan fiskal serta penyediaan bakat atau tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi seperti kenyataan Menteri Kewangan, baru-baru ini,” katanya.

Ghaz berkata, DCAM bakal menganjurkan Digital Festival Creative Content di bawah program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) dengan kerjasama FINAS.

“Festival berkenaan akan menjadi bukti kami menyokong usaha kerajaan dalam penyediaan kemahiran tenaga kerja tempatan terutama platform digital seiring mempromosikan negara ke peringkat antarabangsa.

“Pembabitan tenaga mahir dalam menyediakan kandungan platform digital antarabangsa dapat dipertingkatkan sekiranya kerajaan komited memperkasakan kemahiran dalam Belanjawan 2022.

“DCAM berharap ekosistem lebih kondusif dan menyeluruh dapat dipertingkatkan dalam perancangan RMK-12,” katanya.

Jelas Ghaz, pihaknya komited mendidik dan melahirkan bakat baharu industri kreatif dan digital selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) perlu digiatkan ke arah Society 5.0.

“DCAM lebih optimis selepas bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek.

“Pertemuan ini lanjutan persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) sebagai anjakan pemulihan industri kreatif yang akan memasuki fasa endemik.

“Saya berharap, industri kreatif diberikan peruntukan lebih tinggi. Ia bukan soal minta bantuan, tetapi demi penambahbaikan.

“Jika merujuk kenyataan Tengku Zafrul, peruntukan disediakan ke arah perancangan pembangunan. Namun, warga penggiat seni perlu membuat permohonan peruntukan. Kalau tak minta, bermakna tidak dapat,” kata Ghaz.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat