“Abang Buat Pelbagai Persediaan Seolah-olah Tahu Akan Dijemput Ilahi”

- Advertisement -

SUNGAI PETANI – “Mungkin majlis kenduri kahwin saya nanti akan diadakan bersama majlis tahlil untuk abang juga,” kata Noorhidayah Muhamad Saleh, 30.

Adik kepada mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, Allahyarham Muhamad Hafiz berkata keputusan itu dibuat ayahnya selepas mengambil kira pelbagai persiapan yang sudah dibuat sebelum ini.

Katanya, majlis kenduri kahwin akan dilangsungkan pada Sabtu depan selepas akad nikah pada Jumaat.

“Saya sudah bincang dengan keluarga pagi tadi, ayah cakap majlis tetap akan diteruskan… yang pergi tetap pergi, yang hidup kena teruskan, mungkin buat kenduri bersama tahlil untuk abang sekali,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Noorhidayah berkata, mereka sekeluarga kini masih sebak selepas dimaklumkan abangnya membuat pelbagai persediaan seolah-olah sudah tahu akan dijemput Ilahi.

Katanya, dua minggu sebelum kejadian nahas, abangnya ke syarikat takaful dan insurans untuk membuat hibah atas nama kedua ibu bapa mereka.

“Segala-galanya dia buat atas nama mak ayah dan terlalu banyak dia tinggalkan untuk kami sekeluarga.

“Sebelum ini pun dia pernah cakap dia kalau boleh tak mahu mak ayah berniaga roti canai dan nasi lemak lagi.

“Dia bekerja keras untuk mak ayah, dia juga selalu bantu kami adik beradik, sepanjang hidup dia, dia suka menyenangkan mak ayah, dia kata biar dia susah tak apa, dia tak mahu kami susah,” katanya.

Noorhidayah berkata abangnya juga sudah mengemas barang-barangnya di rumah sewa termasuk maklumkan kepada rakan serumah tempat simpanan barang penting miliknya.

“Segalanya Allah permudahkan untuk abang, rakan arwah sudah boleh bawa semua barang-barangnya ke rumah kami dengan mudah termasuk kereta miliknya.

“Malah urusan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) milik abang pun sudah selesai, insuran untuk Food Panda pun sudah hubungi kami,” katanya yang turut memberitahu menerima kunjungan yang tidak henti-henti sejak semalam.

Bagi Noorhidayah, segala kebaikan yang dilakukan abangnya diketahui satu demi satu selepas kematiannya.

“Abang saya ini mak saya cerita suka bantu orang susah terutama waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu, dia akan sedaya upaya bantu walaupun orang itu dia tak kenal, kalau dia tak mampu dari segi wang ringgit, dia akan bantu dengan kudratnya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan abang yang banyak bantu mudahkan urusan kami, kisah abang ini diharap akan jadi pedoman untuk semua kerana setiap amalan yang baik sesama manusia pasti ada ganjaran daripada Allah,” katanya.

Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz, 32, yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Al Huda Kampung Jerong, di sini, jam 3.45 petang semalam. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat