KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli mendesak pihak pendakwa memfailkan semula pertuduhan kes SRC terhadap Datuk Seri Najib Razak dengan segera.
Hal ini kata bekas Menteri Ekonomi itu, daripada pengalaman beliau mengkaji dan mendedahkan skandal 1MDB dan SRC sebelum ini, penyelewengan melibatkan SRC mempunyai bukti aliran tunai (money trail) yang lebih jelas.
Rafizi berkata demikian susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada hari ini, membenarkan permohonan peguam Najib agar beliau dilepas tanpa dibebas (discharge not amounting to an acquittal, atau DNAA) dalam kes salah guna wang rakyat berhubung syarikat milik kerajaan SRC International Sdn Bhd (SRC).
“Dalam tahun 2019, Najib didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) atas tuduhan menerima wang haram (dari aktiviti yang melanggar undang-undang) sebanyak RM27 juta berkaitan SRC.
“Walaupun didakwa di mahkamah sejak 2019, sehingga kini perbicaraan masih belum boleh berjalan kerana pihak pendakwa raya tidak dapat menyiapkan dokumen-dokumen bukti untuk dikemukakan di mahkamah.
“Saya menghormati hak Najib untuk membuat permohonan DNAA kerana beliau telah menunggu lama sejak 2019. Saya juga menghormati keputusan Hakim K Muniandy yang membenarkan permohonan DNAA itu.
“Saya tidak faham kenapa pihak pendakwa raya mengambil masa yang begitu lama (sejak 2019) untuk menyiapkan dokumen seperti yang diperlukan untuk memulakan kes? Apatah lagi, kes ini bersabit dengan SRC, yang mana Najib kini sedang menjalani hukuman atas sabitan bersalah dari kes pertama melibatkan SRC,” katanya.
Ujar Ahli Parlimen Pandan itu lagi, kelemahan ini jelas perlu dijawab oleh pihak pendakwa raya.
Tegas beliau, ramai rakyat Malaysia tidak mahu melihat kes ini berlalu begitu sahaja atas kegagalan pendakwa (yang mewakili kerajaan) menyiapkan dokumen bukti ke mahkamah, berhubung satu skandal (iaitu SRC) yang telah pun dijatuhkan hukuman bersalah.
“Oleh itu, saya menyeru supaya pihak pendakwa dapat mengesahkan bahawa Kamar Peguam Negara (AGC) akan memfailkan semula pertuduhan dengan secepat mungkin dan menyiapkan dokumen-dokumen dengan sewajarnya, agar kes ini dapat berjalan dengan segera.
“Sebagai Ahli Parlimen, saya akan mengikuti perkembangan kes ini dengan dekat agar ia tidak tercicir dari pandangan awam,” seru Rafizi.