KUALA LUMPUR – Kegagalan kerajaan untuk menarik balik sekatan terhadap saluran Telegram Edisi Siasat ini hanya akan menguatkan persepsi rakyat bahawa kerajaan yang memerintah kini takut kepada kebenaran, tidak komited membanteras rasuah, dan cenderung untuk menyekat
kebebasan bersuara demi menjaga kepentingan politik mereka.
Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada Bersatu Na’im Brundage berkata,Armada Bersatu mengecam tindakan kerajaan menyekat akses kepada laman Telegram Edisi Siasat.
Tegas beliau, Ttndakan ini menimbulkan persoalan sama ada kerajaan sedang cuba untuk menutup maklumat berkenaan skandal-skandal yang melibatkan mereka dengan menyekat kebebasan mendedahkan maklumat.
“Edisi Siasat adalah satu saluran Telegram yang telah memainkan peranan penting dalam mendedahkan salah laku dan penyalahgunaan kuasa yang jarang mendapat liputan media arus perdana.
“Penyekatan ini memberi isyarat jelas bahawa kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam usaha untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
“Lebih membimbangkan, berdasarkan laporan awam terdapat banyak saluran Telegram yang mempromosikan aktiviti jenayah seperti pelacuran, perjudian haram dan penipuan dalam talian yang masih bebas beroperasi tanpa sebarang sekatan,” kata Exco Armada Bersatu itu dalam kenyataan pada Jumaat.
Na’im mencadangkan, kerajaan seharusnya menumpukan usaha mereka kepada saluran-saluran yang terlibat dalam jenayah secara terang-terangan seperti ini, bukannya menyekat saluran yang berperanan sebagai pendedah maklumat seperti Edisi Siasat.