Menteri Besar tidak iktiraf pelantikan baharu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

SEREMBAN, 20 April – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun menegaskan kerajaan negeri tidak mengiktiraf pelantikan baharu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan seperti yang tular susulan tindakan empat Undang Luak.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Aminuddin menjelaskan tindakan yang dilakukan oleh Undang Sungai Ujong, Dato’ Klana Petra Dato’ Mubarak bin Dohak, yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan penurunan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir adalah tidak sah dan tidak boleh diterima.

Menurut beliau, perkara itu kerana Dato’ Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungai Ujong selepas diberhentikan daripada memegang pesaka mengikut adat dan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Oleh yang demikian, tindakan Dato’ Mubarak bin Dohak yang menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan… tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf oleh Kerajaan Negeri kerana beliau tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungai Ujong,” menurut kenyataan itu.

Aminuddin turut menjelaskan bahawa fungsi Dewan Keadilan dan Undang (DKU) adalah sebagai badan penasihat dalam perkara berkaitan adat istiadat Melayu termasuk pemilihan dan pelucutan jawatan Undang Luak, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 16 dan Fasal 14(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Beliau berkata, pemberhentian Dato’ Mubarak sebagai penyandang pesaka Undang Sungai Ujong telah dibuat mengikut adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, berkuat kuasa sejak 13 Mei 2025.

Tambahnya, Sidang Khas DKU pada 17 April lalu juga telah bersetuju menerima keputusan tersebut serta mengesahkan pemberhentian beliau selaras dengan 33 kesalahan berkaitan pesaka dan adat.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menegaskan sebarang tindakan atau pengisytiharan yang dibuat oleh individu berkenaan selepas tarikh pemberhentian adalah tidak sah di sisi adat dan perlembagaan negeri.

Kenyataan ini hadir di tengah-tengah kekeliruan susulan dokumen yang tular semalam, yang mendakwa pelantikan Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

**Dalam perkembangan berkaitan**, semalam empat Undang Yang Empat telah mengadakan sidang media khas dan mengumumkan satu pengisytiharan mendakwa Tuanku Muhriz diturunkan daripada jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Mereka turut mengumumkan pelantikan Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 berkuat kuasa serta-merta.

Empat Undang terbabit ialah Undang Sungai Ujong, Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thaha; Undang Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof bin Haji Mat Rashad; Undang Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiwan Dato’ Mohammed bin Haji Abdullah; serta Undang Rembau, Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin.

Bagaimanapun, tindakan tersebut mencetuskan perdebatan dari sudut perlembagaan dan adat, khususnya berhubung sama ada Undang Yang Empat mempunyai kuasa untuk menamatkan pemerintahan Yang di-Pertuan Besar, atau hanya berperanan dalam proses pelantikan apabila berlaku kekosongan takhta. –SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat