SEREMBAN, – Kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang menolak tindakan empat Undang Luak berhubung pengisytiharan pelantikan baharu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dilihat belum menutup polemik, malah menimbulkan persoalan sama ada kerajaan negeri sebenarnya menjawab isu yang salah.
Dalam kenyataannya, Aminuddin menegaskan tindakan Dato’ Mubarak bin Dohak menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf kerana beliau didakwa tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
Namun, semakan terhadap satu peruntukan lain dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan menunjukkan *Fasal XXIX* secara jelas menyatakan bahawa kuasa dan tanggungjawab Undang hendaklah dianggap telah dilaksanakan dengan sah sekiranya kuasa itu dibuat oleh sekurang-kurangnya tiga Undang, atau oleh sebanyak mana Undang yang masih hidup ketika kuasa tersebut dilaksanakan.

Ini bermakna, walaupun status salah seorang Undang dipertikai, tindakan itu tidak semestinya terbatal secara automatik jika masih terdapat sekurang-kurangnya tiga Undang yang sah mengambil keputusan tersebut.
Atas dasar itu, timbul persoalan sama ada hujah Menteri Besar yang terlalu menumpukan kepada kedudukan Dato’ Mubarak sebenarnya tidak menyentuh isu pokok, memandangkan pengisytiharan itu turut disertai tiga lagi Undang iaitu Undang Jelebu, Undang Johol dan Undang Rembau.
Dengan kata lain, jika kerajaan negeri mahu menolak keseluruhan tindakan empat Undang itu, isu yang perlu dijawab bukan semata-mata status seorang individu, tetapi sama ada tindakan tersebut memang melampaui bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Undang Yang Empat di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
Fasal XXIX hanya memberi jawapan dari sudut cara kuasa Undang dilaksanakan, iaitu keputusan boleh berjalan jika disokong sekurang-kurangnya tiga Undang. Namun, ia tidak secara automatik menyelesaikan persoalan yang lebih besar iaitu sama ada Undang Yang Empat mempunyai kuasa substantif untuk menurunkan atau menggantikan Yang di-Pertuan Besar ketika takhta belum kosong.
Semalam, empat Undang Yang Empat mengadakan sidang media khas dan mengumumkan pelantikan Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan luar biasa itu mencetuskan kekeliruan besar kerana ia dibuat ketika Tuanku Muhriz masih menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sekali gus membuka perdebatan tentang sempadan kuasa adat, undang-undang tubuh negeri dan peranan kerajaan negeri dalam menafsir krisis tersebut.
Justeru, kenyataan Menteri Besar yang memfokuskan kepada kesahihan Dato’ Mubarak semata-mata kini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai belum mematahkan inti hujah empat Undang, kerana Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan sendiri memperuntukkan bahawa kuasa Undang masih boleh dilaksanakan oleh sekurang-kurangnya tiga orang.
Perkembangan ini dijangka terus mencetuskan polemik perlembagaan dan adat yang mendalam, dengan perhatian kini tertumpu kepada tafsiran sebenar Perkara 10 hingga 12 dan Fasal XXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. –SuaraTV



