KUALA LUMPUR – Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia- Kesatuan Eropah (MEUFTA) disambung semula sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan salah satu blok perdagangan terbesar dunia.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, MEUFTA dijangka membuka manfaat yang besar merentasi pelbagai sektor ekonomi Malaysia selain mengukuhkan rantaian bekalan global dalam sektor-sektor kritikal. Ia berpotensi untuk meningkatkan eksport dari sektor- sektor seperti produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan produk berasaskannya, serta peralatan optik dan saintifik ke pasaran EU.
“Satu detik bersejarah bagi hubungan Malaysia-EU, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mengumumkan penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia- Kesatuan Eropah (MEUFTA). Pengumuman ini dibuat bersempena lawatan kerja Perdana Menteri ke Brussels, Belgium pada 19 hingga 20 Januari 2025.
“Penyambungan semula rundingan ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan salah satu blok perdagangan terbesar dunia, yang turut mencerminkan komitmen Malaysia dalam memupuk hubungan ekonomi yang lebih erat dengan Kesatuan Eropah (EU), yang merupakan salah satu rakan perdagangan dan pelaburan utama bagi Malaysia.
“Pencapaian ini juga menggambarkan kekuatan hubungan yang berterusan antara kedua-dua belah pihak dan komitmen bersama dalam memupuk kemakmuran ekonomi,” kata kenyataan itu.
Di samping itu, MEUFTA turut akan menjadi pemangkin dalam menarik pelaburan baharu dari EU dalam sektor-sektor termaju seperti tenaga hijau dan pembuatan
termaju, selaras dengan matlamat pembaharuan industri dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
Untuk rekod ada tahun 2023, EU merupakan rakan dagang ke-4 terbesar Malaysia, dengan nilai perdagangan mencecah RM206.79 bilion.
“Bagi tempoh Januari hingga November 2024, perdagangan dengan EU meningkat sebanyak 5.2 peratus kepada RM200 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.
“Sehingga tahun 2023, pelaburan EU di Malaysia telah menjana lebih 153,000 pekerjaan melalui 1,323 projek bernilai RM227.9 bilion.
“Penyambungan semula rundingan MEUFTA adalah bukti visi bersama kita dalam kerjasama ekonomi dan aspirasi untuk membuka potensi perkongsian perdagangan dan pelaburan,” jelasnya.
Kerajaan Malaysia komited untuk mencapai perjanjian yang seimbang dan menyeluruh kepada semua pihak berkepentingan, disamping memastikan faedah bersama Malaysia dan EU.
Dalam pada itu, kerajaan juga akan terus mengadakan libat urus dengan pemain industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memastikan MEUFTA mencerminkan kepentingan nasional dan aspirasi ekonomi Malaysia.