CABARAN PROKLAMASI DAN ORDINAN DARURAT KE MAHKAMAH

- Advertisement -

Oleh: Muhamad Nur Aizat Bin Noor Azam

Pengisytiharan Darurat 2021 yang merupakan kali kesembilan dalam sejarah negara baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai polemik khususnya dalam kalangan ahli-ahli politik dan juga pengamal undang-undang.

Ia susulan terdapat pihak-pihak tertentu yang ingin mencabar Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang Di Pertuan Agong (YDPA) pada 11 Januari lalu (‘proklamasi darurat tersebut’) di Mahkamah.

Dilaporkan juga, ada tindakan undang-undang yang telah difailkan bagi tujuan mencabar nasihat Perdana Menteri kepada YDPA untuk mengisytiharkan darurat tersebut.

Pada asasnya, sekiranya kita lihat kepada Proklamasi Darurat oleh YDPA di bawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan, YDPA telahpun menyatakan bahawa YDPA berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku akibat penyakit berjangkit, iaitu Covid-19.

Atas dasar itu, YDPA telahpun mengeluarkan Proklamasi Darurat tersebut untuk kepentingan dan keselamatan rakyat. Susulan Proklamasi Darurat itu juga, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 telahpun dimasyhurkan di bawah Perkara 150 (2B) oleh YDPA atas dasar yang sama (‘Ordinan tersebut’).

Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah seperti berikut:

Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan adalah seperti berikut:

Jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat sedang berkuat kuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen sedang bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.

Pertamanya, adalah jelas bahawa perkataan ‘berpuas hati’ dan ‘boleh’ di dalam Perkara 150 (1) dan 150 (2B) tersebut memberi maksud bahawa YDPA mempunyai budi bicara dalam membuat sesuatu Proklamasi Darurat.

Perlu ditekankan di sini bahawa tiada dinyatakan dalam mana-mana peruntukan di bawah Perkara 150 bahawa YDPA wajib bertindak di atas nasihat Kabinet ataupun Perdana Menteri dalam membuat apa-apa Proklamasi Darurat/Ordinan Darurat.

Perkara ini juga adalah jelas apabila YDPA menolak nasihat kerajaan bagi satu Proklamasi Darurat yang pernah dibawa oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun lalu.

Saya berpandangan bahawa, kebijaksanaan, budi bicara, kewajaran (‘reasonableness’) dan proportionality keputusan YDPA dalam membuat Proklamasi Darurat tersebut dan ordinan tersebut tidak boleh sama sekali dipersoal di mana-mana Mahkamah di atas apa-apa dasar sekalipun.

Ini adalah sepertimana yang diperuntukkan dengan jelas di bawah Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya pandangan beberapa pihak bahawa YDPA tidak mempunyai budi bicara dan adalah terikat dengan nasihat Kabinet atau Perdana Menteri dalam membuat Proklamasi Darurat atau Ordinan tersebut di bawah Perkara 150 adalah tepat sekalipun, yang mana adalah dinafikan, nasihat tersebut juga tidak boleh dipersoalkan atau dicabar di mana-mana Mahkamah.

Ini secara jelas diperuntukkan di bawah Perkara 150 (8) yang menyatakan seperti berikut:

Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini-

(a) hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan

(b) tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan-

(i) sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1);

(ii) kuat kuasa berterusan Proklamasi itu;

(iii) mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B); atau

(iv) penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu.

Saya berpandangan sedemikian kerana sebarang tindakan mencabar terhadap nasihat yang diberikan oleh Kabinet atau Perdana Menteri kepada YDPA tersebut secara efektifnya dan secara tidak langsung adalah suatu bentuk mencabar terhadap kesahihan Proklamasi Darurat tersebut dan Ordinan tersebut.

Atau dengan kata lain tindakan atau percubaan membawa isu Proklamasi Darurat ke mahkamah itu secara jelasnya adalah mencabar kuasa YDPA dan boleh disifatkan sebagai perbuatan menderhaka terhadap YDPA dan Institusi Raja.

Ini sudah semestinya tidak dibenarkan oleh peruntukan Perlembagaan Perseketuan iaitu suatu ‘ouster clause’ di bawah Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan (‘ouster clause tersebut’).

Mahkamah hanya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan tindakan undang-undang bagi mencabar nasihat yang diberikan oleh Kabinet atau Perdana Menteri kepada YDPA sekiranya ‘ouster clause’ tersebut didapati tidak sah (‘void’) oleh mahkamah.

Dari sudut undang-undang, ‘ouster clause’ tersebut adalah sah dan berperlembagaan dan sebarang tindakan yang bercanggah dengan ‘ouster clause’ tersebut tidak boleh berdiri di sisi undang-undang.

Saya berpandangan bahawa ‘ouster claus’e tersebut adalah konsisten dengan prinsip ‘Separation of Powers’ di mana institusi Kehakiman adalah dihalang daripada campur tangan dalam sebarang tindakan pihak Eksekutif yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Institusi Kehakiman sememangnya adalah institusi yang bebas dan hanya mempunyai bidang kuasa sepertimana yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Sekiranya segala nasihat Eksekutif terutamanya nasihat-nasihat Kabinet yang diberikan (di bawah Perlembagaan Persekutuan) (termasuk kewajaran (‘reasonableness’) dan ‘Proportionality’ nasihat tersebut) boleh dicabar dan dipersoal di mahkamah, Eksekutif atau sesebuah Kerajaan tidak boleh berfungsi dengan baik dalam mentadbir negara ini.

Ini juga akan menyebabkan satu situasi ‘floodgate’ di mana cabaran terhadap setiap nasihat Eksekutif di bawah Perlembagaan Persekutuan boleh dibawa dan dipersoalkan di mahkamah.

Perkara ini perlu diberikan perhatian memandangkan ianya boleh menetapkan satu ‘precedent’ yang tidak konsisten dengan prinsip ‘Separation of Powers’.

Prinsip ‘Rule of Law’ (yang mesti ditegakkan) juga termasuk menghormati undang-undang yang sedia ada pada setiap masa material dan bertindak mengikuti undang-undang yang sedia ada.

Kesimpulannya, saya berpandangan bahawa segala tindakan oleh mana-mana pihak untuk mencabar Proklamasi Darurat serta Ordinan Darurat ke mahkamah adalah satu tindakan yang tidak wajar atas prinsip ‘Separation of Powers’.

Pihak ini seharusnya memahami terlebih dahulu tujuan undang-undang Darurat wujud serta yang paling penting sekali adalah pada waktu dan ketika ini sebarang tindakan dengan tujuan bersifat politik semata-mata harus dihentikan demi memberikan fokus dan kerjasama sepenuhnya kepada YDPA dan Kerajaan agar negara kita dapat menghadapi gelombang pandemik Covid-19 yang amat membimbangkan ini dengan baik.

Penulis ialah Pengamal Undang-undang, EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat