KUALA PILAH – Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Datuk Seri Sanusi Md Nor supaya tidak datang lagi berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memandangkan kandungan ceramah Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu menyentuh aspek perkauman, etnik, agama dan budaya majmuk yang hanya akan membangkitkan keresahan rakyat.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan pemimpin kanan Pas itu agar berkawan secara berhemah dengan Barisan Nasional (BN) yang dibarisi komponen yang diwakili MCA dan MIC.
“Saya nak respons kepada ucapan daripada yang Datuk Seri Sanusi. Ucapan beliau mungkin sesuai untuk khalayak negeri Kedah dan saya tidak berhasrat untuk menasihatkan tapi sekadar mengingatkan.
“Biarpun ada harimau di dalam dada beliau, sangat sesuai untuk yang keluar daripada kalam beliau itu kambing sahaja.
“Saya tidak mahu timbul interpretasi yang akhirnya meresahkan pelbagai kumpulan dan kalau hasrat beliau adalah untuk memperlihatkan penyatuan di kalangan ummah tak perlu pun menyentuh mengenai etnik, agama, budaya dan juga latar belakang dan lain-lain kaum di negara ini.
“Saya yakin kepada kemajmukan rakyat di negara kita, latar belakang ini adalah sunatullah yang telah ditentukan. Jadi tidak perlu disentuh dengan perkara-perkara yang sebegini. Kalau mereka berhasrat untuk berkawan, buatlah cara mahu berkawan. Bukan menyentuh perkara-perkara yang lain.
“Kalau boleh, sehingga hari Sabtu nanti, kita ada 6 hari lagi, saya ingat eloklah beliau (Sanusi) sibukkan diri tadbir di Negeri Kedah, tak perlu datang ke Negeri Sembilan rasanya. Biarlah kita uruskan di Sembilan dengan cara kita sendiri. Yang lain-lain (pemimpin) datang pun tak apa,” katanya ketika ditemui media selepas Program Salam Agrikomoditi di Kuala Pilah pada Sabtu.
Sanusi sebelum ini menegaskan bahawa Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu yang menjadi tempat perlindungan bagi masyarakat pribumi, berbeza dengan kaum lain yang mempunyai negara asal masing-masing.
“Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada Cina, orang Kamboja ada Kamboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja,” katanya dalam ceramah di Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan sama, Zahid yang juga Pengerusi BN menegaskan kaum bukan Melayu tidak wajar resah dengan gelombang biru.
“Gelombang biru ini gelombang Barisan Nasional.
“Dalam Barisan Nasional ada parti Cina, ada parti India. Tidak seharusnya meragukan atau meresahkan orang Cina, orang India, ataupun Orang Asli atau orang Sabah dan Sarawak. Saya berdapat tidak timbul permasalahan itu,” tegas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi.



