KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) baru sahaja ditolak teruk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan kekalahan itu memberi tamparan hebat kerana sudah 3 tahun memerintah, ketokohan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah boleh diuji dengan teliti oleh rakyat.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Harris Idaham Rashid berkata demikian merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri ketika pertemuan bersama editor media bahawa PRU16 tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Masa kenyataan itu dibuat tidak boleh dipisahkan dengan fakta bahawa Pakatan Harapan (PH) baru sahaja ditolak teruk ketika PRN Sabah. Kekalahan itu memberi tamparan hebat kerana sudah 3 tahun memerintah, ketokohan PM sudah boleh diuji dengan teliti oleh rakyat.
“Dasar baharu sudah diperkenalkan tetapi selepas 3 tahun rakyat masih tidak yakin dan menolak gabungan yang dipimpin oleh Perdana Menteri ketika PRN Sabah.
“Tanpa kerusi DUN Melalap yang calonya di import di saat akhir, PH yang sedang memerintah negara akan mengalami kekalahan di semua kerusi yang dipertandingkan. Ini menyebabkan Perdana Menteri tidak yakin dengan tahap sokongan sedia ada dan memerlukan masa sebanyak mungkin untuk cuba menaikan tahap sokongan,” katanya.
Menurut Harris lagi, ayam Tambatan PH iaitu DAP sebagai penyumbang kerusi paling banyak dalam gabungan kerajaan juga kalah di semua kerusi yang dipertandingkan.
“Selain kalah, jumlah peratusan sokongan terhadap DAP di Sabah juga merudum teruk.Sebagai Perdana Menteri yang bergantung harap kepada DAP untuk menyumbang kerusi Parlimen yang mencukupi tentunya fakta dan data ini memberi gambaran tidak baik.
“Sekiranya DAP gagal menyumbang kerusi Parlimen yang diharapkan maka runtuhlah PH pada PRU akan datang.
“Perlu diingatkan, bahawa pada malam keputusan PRU15, jarak kerusi diantara PH dan PN itu sangat dekat. Jadi kegentaran Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen awal untuk
memberi ruang kepada PRU-16 apabila DAP sedang menghadapi penurunan sokongan itu sangat keterlihatan,” katanya.
Beliau juga mendakwa, Perdana Menteri juga menyedari bahawa angka-angka ekonomi yang sering diumumkan itu tidak dirasai dibawah, maka sokongan yang
diharapkan tidak dipamerkan dalam kertas undi.
“Hal ini juga berkait dengan skandal rasuah yang sering kedengaran dalam pentadbiran ini, rakyat memikirkan walaupun pertumbuhan angka ekonomi itu baik tetapi ketirisan jugak dilihat besar dan tidak seperti yang dikempenkan pada PRU lalu,” katanya.



